'Bergelar ibu bukan penalti untuk kerjaya...' - Dr Raihana bantu buka mata wanita cara bangkit menerusi ikon prihatin, tukar kemahiran jadi pendapatan

Iklan

PERNAH atau tidak anda berada dalam satu fasa kehidupan yang membuatkan anda terfikir,"Adakah ini sahaja ruang untuk aku?"

Bagi sesetengah wanita, perjalanan hidup tidak selalunya memberi peluang untuk mengejar impian seperti yang dirancang.

Iklan
Iklan

Ada yang terpaksa memperlahankan langkah demi mengutamakan keluarga, ada yang mengetepikan cita-cita selepas bergelar ibu, dan tidak kurang juga yang mula meragui kemampuan diri sendiri apabila terlalu lama mendahulukan keperluan orang lain.

Namun, pengorbanan itu sebenarnya bukan titik noktah. Menurut Dr Raihana Ismail, Pengasas Efferty International Sdn Bhd, bergelar seorang ibu, isteri atau penjaga keluarga tidak pernah menjadi alasan untuk seseorang wanita mengecilkan impian.

Iklan

Sebaliknya, setiap kemahiran, pengalaman dan keberanian yang dipupuk dalam kehidupan seharian boleh dijadikan titik mula untuk membina masa depan yang lebih baik.

Iklan

Membawa semangat pemerkasaan ini, beliau yang merupakan Penerima Anugerah Wanita Ikon Terengganu 2026/2027 baru-baru ini menerajui program Ikon Prihatin: Wanita Bangkit Dari Kemahiran Kepada Pendapatan, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Efferty International.

Program tersebut memberikan tumpuan khas kepada pemerkasaan ekonomi wanita, khususnya buat golongan ibu tunggal dan B40.

“Kita mahu peserta melihat bahawa kemahiran yang mereka ada, walaupun nampak kecil, sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” katanya dengan penuh azam.

Bagi memastikan impaknya berkesan, pengisian program dirancang secara holistik. Ia merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti Hot Seat Talk, bengkel menganyam barangan tradisional, Go Live Simulation, persembahan budaya serta sesi berharga bersama barisan Wanita Ikon.

Baginya, pemerkasaan wanita bukan sekadar memberi kata-kata semangat atau memberitahu golongan itu bahawa mereka kuat.

“Kita perlu beri mereka ruang, ilmu dan tools supaya mereka benar-benar boleh berdiri dengan kemampuan sendiri,” jelasnya lagi.

Berdepan dengan stereotaip

Menyentuh mengenai realiti dunia pekerjaan dan kehidupan berkeluarga, beliau mengakui wanita sering berdepan dengan stereotaip bahawa tanggungjawab domestik menjejaskan komitmen kerjaya.

Kongsinya, pandangan tersebut perlu diubah kerana seorang wanita mampu memegang pelbagai peranan dengan cemerlang.

“Menjadi ibu tidak sepatutnya menjadi penalti kepada career progression seorang wanita.

"Pengiktirafan sepatutnya diberikan berdasarkan kemahiran, prestasi, kepimpinan, integriti dan contribution seseorang, bukannya berdasarkan stereotaip bahawa seorang ibu mungkin kurang komited hanya kerana dia mempunyai tanggungjawab terhadap anak,” ujar wanita berusia 41 tahun itu lagi.

Malah, beliau turut menekankan bahawa keseimbangan kerjaya dan keluarga bukanlah satu pertandingan antara lelaki dan wanita.

Apa yang diperlukan oleh masyarakat hari ini ialah ekosistem pekerjaan yang lebih manusiawi serta kefahaman bahawa penjagaan anak adalah tanggungjawab bersama. Situasi seperti ibu mengambil cuti kerana anak sakit yang tular baru-baru ini sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat tidak patut dinilai secara negatif semata-mata.

“Kadang-kadang kita cepat nampak dia sebagai ‘selalu cuti’. Tetapi kita jarang bertanya, berapa banyak perkara yang dia sebenarnya sedang cuba balance pada masa yang sama?” soalnya.

Kongsi Dr Raihana lagi, langkah pertama untuk bangkit bermula daripada keyakinan terhadap diri sendiri. Pendidikan, kemahiran dan literasi kewangan perlu diteruskan tanpa kira usia atau status perkahwinan. Lebih penting, keberanian ibu hari ini akan menjadi contoh terbaik buat anak-anak yang sentiasa memerhati.

“Kalau seorang anak perempuan melihat ibunya berani belajar, berani bekerja, berani memulakan sesuatu, berani bangkit selepas gagal.

"Pada masa sama tetap menjadi manusia yang penyayang, dia akan membesar dengan satu mesej yang sangat kuat: ‘Aku juga boleh,’” pesannya merendah diri.