Dulu dikenali ‘Mak Cik Kemboja’, kini Madam Mariyah bangkit selepas kejatuhan empayar bisnes demi anak dan pekerja – ‘Bukan garang tapi tegas...’

Iklan

APABILA menyebut nama Mariyah binti Yaakob, mungkin ramai yang mengambil masa sejenak untuk mengingatnya. Namun, sebaik sahaja gelaran ‘Mak cik Kemboja’ dipetik, memori masyarakat terus tertumpu kepada satu episod kontroversi yang pernah menggegarkan seluruh negara.

Gelombang boikot, tindakan undang-undang di mahkamah, sehingga kejatuhan empayar perniagaannya secara terbuka disaksikan oleh segenap lapisan masyarakat. Namun, di sebalik ujian berat yang meragut segala-galanya, wanita berjiwa kental berusia awal 50-an itu menyimpan sebuah kisah kebangkitan penuh inspirasi yang menyentuh sanubari selepas sekian lama berdiam diri.

Iklan
Iklan

Mengimbas kembali detik hitam yang hampir meragut semangat hidupnya, wanita yang mesra disapa Madam Mariyah mendedahkan niat asalnya ketika itu hanyalah untuk memberikan peringatan dan motivasi buat pekerjanya, bukannya untuk mengguris hati sesiapa.

Iklan

"Sebenarnya Madam cuma nak bagi motivasi. Bila kita nak berjaya, kita tak boleh malas. Kena jaga masa, attitude, dan mindset. Benda itu yang Madam cuba sampaikan ada yang nak kerja tapi datang lambat, nak berjaya tapi sekadar berangan.

"Tapi mungkin penyampaian Madam tak sampai dan disalahertikan. Benda pun dah berlaku, denda RM40,000 dah dibayar dan kes di mahkamah telah selesai secara aman. Sekarang ini Madam cuma nak pandang ke depan," luahnya jujur.

Iklan

Impak kecaman hebat itu memaksa dirinya mengasingkan diri daripada dunia luar. Di dalam keheningan bilik, ibu kepada tiga cahaya mata itu merawat duka sambil mencari jawapan di mana letaknya kekhilafan diri.

"Masa itu Madam tak keluar rumah langsung. Cuma tidur, baring, dan berkurung. Tapi bila tengok wajah anak-anak, Madam tersentak. Madam kena bangkit.

"Kita ada anak-anak yang masih nak belajar, ada pekerja-pekerja setia yang bergantung harap, dan hutang perniagaan yang perlu diselesaikan.

"Takkanlah Madam nak meratap saja? Walau macam mana sakit pun, Madam mesti kena bangun," katanya dengan nada sebak ketika ditemu bual dalam podcast Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus baru-baru ini.

Pilih  ketenangan  dan  'circle'  kecil

Sering kali dilabel bengis dan garang oleh warganet, usahawan gigih tersebut bagaimanapun menafikan perkara itu dan menjelaskan ia lahir daripada tuntutan tanggungjawab yang amat berat di bahunya.

"Orang nampak Madam macam garang. Sebenarnya tak, Madam cuma tegas. Bila kita usahawan wanita yang kena jaga 500 otak pekerja warga asing secara bersorangan, benda itu bukannya mudah. Kalau kita kata A, kena buat A. Tapi orang luar cuma nampak luaran," jelas pemilik jenama Aura Maria itu lagi.

Pengalaman pahit dilanda badai kehidupan turut mengajar beliau untuk lebih berhati-hati dalam mengatur langkah kehidupan harian dan memilih insan yang benar-benar ikhlas.

"Kawan ketawa ini ramai, tapi kawan waktu kita jatuh memang susah nak dapat. Sebab itu Madam sangat-sangat kecilkan circle. Pergi kerja, balik kerja.

"Sekarang tak ada nak risau apa-apa, nak kopi-kopi luar pun tak ada. Kalau nak minum kopi, saya duduk sendirian pun tak kisah," katanya.

Ketagih  berniaga  'live'8  jam

Jiwa perniagaannya tidak pernah padam. Madam Mariyah mengakui beliau seorang wanita yang mempunyai impian yang sangat besar (big why) dan cita-cita yang tinggi.

Minatnya yang mendalam dalam dunia perniagaan membuatkan beliau begitu gigih menyapa pengikutnya menerusi sesi jualan langsung (live).

"Madam memang seorang yang suka berniaga dan berimpian besar. Madam sangat suka buat live. Bayangkan, Madam boleh buat live sampai tujuh ke lapan jam.

"Empat jam Madam cakap non-stop, berkongsi ilmu sambil berniaga. Bohonglah kalau kata tak penat, tapi bila fikir balik tanggungjawab dan anak-anak yang masih belajar kat universiti, Madam terus tiup semangat pada diri sendiri.

"Bila balik live dan masuk bilik, Madam cuma cakap, 'Ya ALLAH, Kau lebih tahu apa yang tersirat dan tersurat dalam hati aku. Aku percaya usaha tidak akan mengkhianati aku. Mariah, kau boleh buat.

"Tak semestinya kau gagal dalam satu perkara, kau kena gagal dalam semua benda," kongsinya meluahkan kecekalan hatinya.

Pada masa sama, Madam Mariyah urut melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada mereka yang masih sudi memberikan peluang kedua serta terus menyokong perjalanan perniagaannya sehingga ke hari ini.

"Dulu orang reka panggil Mak cik Kemboja, tapi sekarang saya nak orang kenal sebagai Madam Mariyah.

"Peluang kedua ini bukannya mudah untuk didapati, tapi bila ada warganet yang mula panggil Madam Iron Lady dan kata Madam ini wanita inspirasi, benda itu yang buat saya bangkit dan kerja lagi keras.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua penyokong yang masih terima dan menyokong Madam. Saya sangat-sangat bersyukur," ungkapnya penuh harapan.