LEGASI Muay Thai terkenal, keluarga Ghazali akhirnya melengkapkan catatan emas pada pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila adik bongsu mereka, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar meraih pingat emas acara Muay Thai wanita kategori 42 hingga 45 kilogram (kg).
Pertarungan Emylia yang lebih dikenali sebagai Mia dengan wakil Johor, Damia Husna Azian,sengit terutama pada pusingan terakhir, namun Mia berjaya mempertahankan kelebihan mata dengan kemenangan 34-33 dalam aksi final.
Mia sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan jurulatihnya.
Ditanya mengenai keyakinan bertemu lawan yang lebih berpengalaman, Mia meluahkan penghargaan buat abang-abangnya.
"Saya percaya kepada latihan, jurulatih dan kepada ALLAH. Abang-abang saya, mereka telah memainkan peranan besar untuk saya dan mereka telah mempersiapkan saya dengan baik," kongsinya.
Mia juga mensasarkan untuk muncul sebagai petinju hebat seperti abang-abangnya di peringkat antarabangsa.
Artikel penuh:
- Darah Ghazali mengalir deras! Jojo, Miki, Elias dan Mia ukir kejayaan manis sukan muay Thai di Thailand
- Baru 16 tahun, Johan Ghazali petinju Muay Thai negara cipta rekod 36 saat tewaskan jaguh dunia, 10 info mengenainya
- 'I never left' - Jojo Ghazali bangkit, tewaskan lawan dalam masa 2 minit
"Saya mahu berjaya seperti adik-beradik saya di luar negara, di Thailand. Saya mahu bertarung di Rajadamnern World Series (RWS)" tuturnya.
Baharu 15 tahun, Mia mengakui kehadiran penyokong di SUKMA kali ini memberikan semangat buatnya untuk bekerja lebih keras.
Malah anak tunggal perempuan dalam keluarga itu cukup tersentuh apabila menyebut tentang sokongan jurulatih.
Abangnya, Johan Ghazali turut meraikan kejayaan adik bongsunya dalam SUKMA. Sumbangan emas tiga kali berturut-turut daripada adik-beradiknya pada temasya sukan itu membuatkan Johan berbangga.
"2022, 2024 dan 2026. Pingat emas berturut-turut daripada keluarga Ghazali untuk Sarawak.
"Terima kasih dan sama-sama. Alhamdulillah," titip Jojo.
Seperti abang-abangnya, Mia terlebih dahulu menyertai pertarungan di Thailand. Pada 1 Februari lalu dia menewaskan wakil Thailand di Nakhon Ratchasima selepas lima pusingan sengit melalui keputusan mata.
Terdahulu, Jojo dan abang sulung, Elias meraih emas pada SUKMA 2022 manakala anak ketiga, Muhammad Mikail atau Miki meraih emas untuk Sarawak pada tahun 2024.
Kejayaan adik bongsu keluarga Ghazali ini melengkapkan keseluruhan naratif adik-beradik mereka di pentas SUKMA.
Sekadar info, empat beradik ini ialah anak kepada SAC Zulfikar Mohd Ghazali dan Jennana Lynn Johnson yang juga merupakan pengamal seni bela diri Muay Thai.
Manakala datuk mereka pula mantan Panglima Angkatan Tentera kelapan, Allahyarham Jeneral Tan Sr Panglima Dr Mohd Ghazali Che Mat.