BAYANGKAN masuk ke sebuah tempat makan di tengah sibuknya Bangsar, tetapi hidangan yang sampai ke meja pula mengingatkan kita kepada rumoh, kampung halaman dan masakan air tangan keluarga.
Itulah pengalaman yang cuba dibawa Rumoh Mekda apabila membuka ruang makannya di Bangsar Village 1, dengan masakan Pantai Timur menjadi nadi utama menu.
Daripada nasi kerabu dan ikan patin tempoyak hingga daging tumbok, setiap hidangan bukan sekadar mahu mengenyangkan, sebaliknya membawa sedikit cerita keluarga di sebaliknya.
“Saya nak pelanggan masuk dalam restoran ini macam rumah sendiri. Itulah hasrat saya sejak awal lagi,” kata pengasasnya yang mesra disapa Mekda.
Rumoh Mekda dilancarkan secara rasmi pada 23 Ogos 2026, dengan majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Bagi Mekda, pembukaan tersebut bukan sekadar tentang memiliki sebuah restoran, sebaliknya menjadi kesinambungan kepada perjalanan yang sudah dimulakan bertahun-tahun lalu menerusi perniagaan katering.
Jika sebelum ini hidangan Pantai Timur mereka dibawa ke rumah, majlis dan keraian pelanggan, kini orang ramai pula boleh datang sendiri ke ‘rumoh’ tersebut.
Nama Rumoh Mekda sendiri sudah memberikan gambaran tentang suasana yang mahu diwujudkan.
Konsep restoran menggabungkan elemen kampung dan moden, menjadikan ruangnya lebih santai serta tidak terlalu formal.
Bagi Mekda, perkara paling penting ialah pelanggan berasa selesa sebaik melangkah masuk.
“Saya nak pelanggan masuk dalam restoran ini macam rumah sendiri. Itulah hasrat saya sejak awal lagi,” katanya.
Justeru, ‘rumoh’ yang dimaksudkan bukan semata-mata tentang dekorasi atau rupa ruang, tetapi perasaan yang hadir ketika duduk semeja menikmati makanan bersama orang tersayang.
Sajian Pantai Timur jadi nadi
Di sebalik konsep tersebut, makanan tentunya menjadi perkara utama yang membawa identiti Rumoh Mekda.
Inspirasi daripada masakan Kelantan, Terengganu dan Pahang diketengahkan menerusi pelbagai hidangan yang kaya dengan rasa serta dekat dengan tradisi keluarga.
Antara yang menjadi sebahagian daripada menu ialah Nasi Kerabu Ayam Percik, Ikan Patin Goreng Sambal Tempoyak, Daging Tumbok dan Singgang Oxtail.
Puding Diraja pula melengkapkan pilihan dengan sentuhan pencuci mulut tradisional yang cukup sinonim dengan juadah warisan.
Namun, bagi Mekda, setiap hidangan bukan sekadar dipilih kerana ia popular atau sinonim dengan Pantai Timur. Ada cerita keluarga di sebaliknya.
Resipi keluarga di sebalik hidangan
Mekda dan suaminya sendiri terlibat dalam menyediakan serta menetapkan resipi yang digunakan di premis tersebut.
Katanya, hidangan seperti patin tempoyak, daging tumbok dan nasi kerabu antara resipi yang menjadi identiti mereka.
“Suami dan saya yang set up resipi dalam premis ini dan setiap satu resipi inspirasi daripada keluarga saya dan suami,” ujarnya.
Bagi yang membesar dengan makanan Pantai Timur, sajian tersebut mungkin menghidupkan semula kenangan tentang rumah, keluarga atau kampung halaman.
Bagi yang tidak biasa pula, ia memberikan peluang mengenali rasa yang lahir daripada tradisi masakan di Pantai Timur.
Mekda percaya kekuatan makanan bukan hanya terletak pada rasa, tetapi emosi yang hadir bersamanya.
“Makanan sangat dekat dengan hati kita. Satu hidangan boleh mengingatkan kita kepada ibu, nenek, kampung halaman atau satu majlis bersama keluarga.
“Perasaan itulah yang kami mahu kekalkan,” katanya.
Menurutnya, masakan Pantai Timur juga mempunyai karakter tersendiri kerana banyak hidangan memerlukan masa untuk disediakan.
“Masakan Pantai Timur mempunyai begitu banyak jiwa. Ia mengambil masa untuk disediakan, mempunyai karakter yang tersendiri dan memang lebih bermakna apabila dinikmati bersama.
“Kami mahu Rumoh Mekda menjadi tempat di mana orang ramai boleh merasai semua itu — sama ada mereka membesar dengan makanan ini ataupun baru pertama kali mengenalinya,” jelasnya.
Bermula dengan sandwich dan nasi lemak
Sebelum mempunyai sebuah ruang makan sendiri di Bangsar, perjalanan Mekda dalam dunia makanan bermula secara sederhana.
Minat terhadap masakan dan keseronokan menjamu orang membuatkan wanita itu mula berniaga sejak awal usia 30-an.
“Saya memang dah suka masak. Saya suka makan. Saya suka menjamu orang makan.
“Saya dah mulakan daripada awal 30-an dengan menjual sandwich di stesen minyak. Kemudian saya buat nasi lemak,” katanya.
Namun, perjalanan tersebut tidak sentiasa berjalan lancar. Ketika pandemik COVID-19, Mekda terpaksa menutup perniagaannya sebelum kembali bangkit menerusi perkhidmatan katering.
Selama kira-kira enam tahun setengah, katering menjadi sebahagian besar daripada perjalanan perniagaannya. Daripada situlah hubungan dengan pelanggan berkembang, satu tempahan, satu majlis dan satu jamuan pada satu masa.
Daripada katering lahirnya Rumoh Mekda
Pengalaman menguruskan katering akhirnya membuatkan Mekda melihat satu perkara yang cukup dekat dengan dirinya.
Makanan yang selama ini dihantar kepada pelanggan sebenarnya mempunyai potensi untuk dinikmati dalam suasana yang lebih santai.
“Rumoh Mekda bermula dengan katering. Kami sangat bertuah kerana diberi peluang untuk membawa makanan kami ke rumah dan majlis untuk setiap pelanggan.
“Lama-kelamaan, kami mula terfikir untuk mewujudkan sebuah tempat di mana orang ramai pula boleh datang ke kedai kami.
“Sebuah tempat di mana makanan ini boleh dinikmati setiap hari, bukan hanya untuk majlis-majlis tertentu,” katanya.
Daripada idea itulah Rumoh Mekda akhirnya direalisasikan. Apa yang menarik, pengasasnya tidak mahu identiti katering tersebut hilang apabila beralih kepada konsep restoran. Sebaliknya, ia menjadi kesinambungan kepada apa yang sudah dibina sebelum ini, cuma kali ini pelanggan datang kepada mereka.
Pembukaan Rumoh Mekda di Bangsar Village 1 menjadi satu lagi bab penting selepas bertahun-tahun Mekda bergerak menerusi katering. Jika sebelum ini hidangan disediakan untuk acara tertentu, kini pelanggan boleh menikmati menu tersebut dalam rutin makan harian.