MELIHAT anak mula melangkah keluar daripada zon selesa sememangnya mengundang pelbagai rasa buat seorang ibu. Antara bangga, teruja dan risau, semuanya bercampur aduk apabila pertama kali perlu melepaskan si kecil berjauhan dari pandangan mata.
Perasaan berat hati itu turut dirasai penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah apabila anak sulungnya, Ayden, mengembara ke luar negara buat pertama kali tanpa ditemani dirinya.
Menerusi satu hantaran emosi di media sosial, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui sukar untuk melepaskan pemergian Ayden, namun reda demi memberi peluang untuk anaknya menimba pengalaman baharu.
"First time my baby is travelling overseas without Mummy. My heart is a little heavy today, but I’m so excited for this new experience for you," luah Bella jujur.
Momen menghantar Ayden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memperlihatkan air mata ibu muda ini menitis, sekali gus menyentuh hati para pengikutnya.
Dalam hantaran sama, Bella menzahirkan rasa terima kasih kepada tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang bertanggungjawab membawa serta menemani Ayden sepanjang perjalanan ke Sydney, Australia. Syed Saddiq sebelum ini berkongsi perancangan menyertai cabaran Sydney Marathon sejauh 42.2 kilometer pada September depan, sekali gus membuat kejutan membawa ibu tercinta dan Ayden bersama-sama.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga netizen dan pengikut turut merasai kepedihan serta kerisauan seorang ibu. Ramai yang menasihatkan Bella agar tidak terlalu runsing kerana Ayden berada di tangan insan yang tepat dan dipercayai.
"He’s with his daddy. Jangan overthinking Bella. Keep doa je, moga ALLAH lindung mereka selalu while they’re away," tulis salah seorang pengikut yang memberi sokongan moral.
Ada juga peminat yang berkongsi nostalgia senada apabila mengenang momen pertama kali melepaskan anak berdikari atau memasuki sekolah berasrama.
"Biasa kita tinggal anak-anak untuk kerja. Tapi bila anak-anak tinggalkan kita, rasa dia lain. Sebak, sedih. Even anak-anak dikelilingi orang tersayang, tetap ada rasa sebak juga," kongsi seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pengikut menyifatkan emosi 'hilang sekejap' yang dialami Bella sebagai satu fitrah kasih sayang ibu yang sangat indah dan bermakna.
"Anak yang tak pernah selama ini berjauhan dengan kita, tiba-tiba kena pergi jauh. Hati seorang ibu tetap rasa 'hilang sementara'. Mixed feelings everywhere. Tapi sebagai ibu, apabila kita yakin anak dikelilingi orang yang menyayangi dan menjaganya, kita akan rasa selamat. Jika anak bahagia, sebagai ibu kita pun tetap bahagia," luah pengikut tersebut.
Malah, keperibadian Ayden yang disifatkan matang dan beradab turut mendapat pujian ramai yang mendoakan agar urusan perjalanannya dipermudahkan.
"Good luck Ayden. Dia betul-betul budak yang baik, beradab, bijak, matang dan penyayang. Manja tapi berdikari," puji salah seorang netizen.
Buat Bella, momen ini mungkin mengajar hatinya untuk belajar melepaskan sedikit demi sedikit. Di sebalik linangan air mata dan rasa berat di dada, terselit kebahagiaan apabila melihat anak tersayang mencipta memori indah di bumi asing. Kerana hakikatnya, sejauh mana pun si kecil melangkah, doa dan kasih seorang ibu akan sentiasa menjadi pelindung yang tiada sempadan.