Persiapan majlis kini 70 peratus, Bella Astillah tetap sibuk bekerja, respons isu bridesmaid - ‘Orang fikir nak kahwin, wajib ambil yang popular’

Iklan

BILA tarikh bahagia semakin dekat, bukan soal memilih baju atau menentukan dekorasi sahaja yang bermain di fikiran. Ada banyak perkara lain perlu diseimbangkan, terutama apabila dalam masa sama masih perlu bekerja dan meluangkan masa bersama anak-anak.

Situasi itu sedang dilalui pelakon dan penyanyi Bella Astillah yang kini sibuk menguruskan persiapan menuju hari bahagianya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Iklan
Iklan

Menariknya, Bella tidak menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada keluarga. Sebaliknya, dia memilih untuk turun padang menguruskan sebahagian besar persiapan sendiri, sambil memastikan kerjaya dan tanggungjawab terhadap dua cahaya matanya, Ayden dan Ara, tidak terabai.

Iklan

Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah,, kira-kira 70 peratus persiapan perkahwinannya sudah selesai.

Biarpun ada ketika berasa tertekan, wanita berusia 32 tahun itu menganggap semua yang dilalui sebagai sebahagian daripada fasa kehidupan yang perlu ditempuh.

Iklan

“Persiapan kahwin dan masa bekerja semuanya berjalan seiringan. Selagi saya masih ada keluarga, insya-Allah semuanya dipermudahkan.Sudah tentu rasa tertekan tetapi saya percaya semua orang ada fasa ini dalam hidup,” ujarnya.

Dalam kesibukan itu, Bella mengakui ada perkara kecil berkaitan majlis yang masih belum boleh dikongsikan kepada umum.

Katanya, beberapa perkara tersebut akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai.

Apa yang lebih penting buat Bella ketika ini adalah memastikan kehidupan sebagai ibu dan wanita berkerjaya terus berjalan seperti biasa.

“Saya perlu seimbangkan daripada segi persiapan, kerjaya dan anak-anak. Saya tak boleh tinggalkan anak-anak, tetap kena luangkan masa bersama mereka,” ujarnya.

Menariknya, Bella juga tidak merancang untuk mengambil cuti panjang selepas majlis perkahwinannya.

Sebaliknya, dia akan kembali meneruskan komitmen kerja yang sudah menanti termasuklah komitmen dalam teater.

Bagi anak kelahiran Sabah itu, selagi tubuh masih berdaya dan tiada paksaan, dia mahu terus bekerja kerana menganggap peluang yang datang sebagai rezeki, terutama demi anak-anak.

Sementara itu, satu lagi perkara yang turut menjadi perhatian ialah pemilihan bridesmaid untuk hari bahagianya.

Namun, Bella melihat perkara itu dengan cukup sederhana.

Bridesmaid popular

Baginya, mempunyai hubungan rapat dengan seseorang tidak bermaksud individu berkenaan mesti berada dalam barisan pengapitnya.

Jujur tuan punya badan mengakui, beberapa rakan yang sudah dihubungi sebelum ini namun ada yang tidak dapat menerima pelawaan tersebut kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

“Orang fikir bila nak kahwin atau nak cari bridesmaid, wajib yang popular. Sebenarnya ada yang Bella sudah hubungi pun tetapi tak dapat nak buat.

“Ada yang sudah ada komitmen lain, ada yang tak dapat datang dan ada yang hanya boleh datang pada waktu majlis,” katanya.

Bella turut menjelaskan bahawa semua rakan terdekatnya tetap dijemput ke majlis perkahwinan itu.

Justeru, dia tidak melihat isu pengapit sebagai ukuran terhadap nilai sesebuah persahabatan.

Malah, katanya, rakan-rakan yang tidak dapat menjadi pengapit juga memahami keadaan masing-masing kerana mereka sendiri mempunyai kehidupan dan komitmen untuk diuruskan.

“Bagi saya, semua kawan-kawan memang rapat. Tapi rapat itu tak semestinya mereka wajib jadi pengapit sampai kita lupa mereka pun ada tanggungjawab lain.

“Alhamdulillah, di usia sekarang kita semua fokus untuk cari rezeki bagi kehidupan masing-masing” ujarnya dalam nada tegas.

Mendoakan kebahagiaan 

Baginya, persahabatan yang matang bukan tentang siapa yang berdiri di sebelah pengantin pada hari perkahwinan, tetapi bagaimana seseorang terus menyokong dan mendoakan kebahagiaan sahabatnya. Dedahnya, pengalaman sebelum ini menunjukkan rakan-rakannya juga memahami jika seseorang tidak dapat memenuhi permintaan untuk menjadi pengapit.

“Ramai kawan-kawan di sekeliling termasuklah rakan artis yang saya percaya semua sudah dewasa dan tiada masa fikir soal terasa bila tidak dipilih sebagai pengapit.

“Sebaliknya, kita lebih kepada mendoakan bila tengok orang lain bahagia dan tiada istilah terasa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq, 34, sebelum ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dan bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober depan. Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016. Pasangan itu bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dan akhirnya berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden dan Ara.

Bella berkongsi perkara tersebut ketika ditemui SinarPlus pada majlis pelancaran kedai minuman TRUEDAN di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Majlis bersempena pembukaan rasmi cawangan pertama TRUEDAN di Malaysia. Kehadiran Bella menceriakan lagi pembukaan rasmi premis berkenaan selepas tempoh pra-pembukaan selama sebulan yang memberi peluang kepada pengguna tempatan mencuba jenama popular dari Taiwan itu. 

Aksinya itu turut mencuri perhatian lebih 500 pengunjung yang membanjiri IOI City Mall apabila selebriti itu muncul sebagai barista sehari dan sibuk memarut Meteoric Brown Sugar ikonik TRUEDAN dan memotong Handmade Taiwanese Jelly, selain mengagihkan Signature Meteoric Brown Sugar Oolong Milk Tea with Taiwanese Jelly serta Taiwanese Crispy Milk Donuts yang digoreng segar kepada peminatnya.

Selain itu, Bella turut menyemarakkan suasana dengan melayan pengunjung, beramah mesra dan bergambar bersama peminat yang hadir.