‘Kalau tak dapat, saya work harder’ – Meerqeen akui takut kontroversi calarkan kerjaya & imej keluarga, dedah ibu bentuk prinsip hidupnya

Iklan

IMPIAN besar tidak akan pernah ke mana-mana sekiranya sekadar tersimpan kemas dalam fikiran. Bagi pelakon terkenal, Meerqeen, setiap sasaran yang mahu dicapai perlu ditulis dengan jelas, dikejar tanpa rasa henti dan diusahakan sehabis baik.

Prinsip hidup itu dipegang erat pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam sejak kecil. Dia bukan sekadar memasang cita-cita, tetapi menetapkan sendiri hala tuju hidup dan bergerak mengikut rentak yang dirasakan sesuai dengan keupayaan dirinya.

Iklan
Iklan

"Saya seorang yang penuh dengan imaginasi seawal zaman sekolah lagi. Apa yang diinginkan, saya akan tulis. Malah, apa yang saya tidak mahu pun tetap akan catat.

"Sejak dulu lagi saya bergerak berpandukan sasaran yang telah ditulis. Bagi saya, memasang cita-cita ini biar setinggi mana sekalipun, merapu atau tidak, itu belakang cerita. Kalau rasa nak beli kapal sekali pun, tulis sahaja!

Iklan

"Sebabnya, kalau saya tidak dapat mencapai apa yang diimpikan, hati saya akan rasa 'panas'. Bila timbul perasaan belum capai sasaran itu, ia jadi pendorong untuk saya bekerja lebih keras demi mendapatkan apa yang dihajati," kata Meerqeen ketika ditemui SinarPlus dalam majlis Meet and Greet bersama peminat yang berlangsung di Xiaomi Store TRX Kuala Lumpur. 

Bila diminta memberi nasihat buat rakan seangkatan mahupun anak muda di luar sana, anak jati Selangor itu mempunyai pandangan tersendiri berlandaskan pengalaman hidupnya.

Iklan

"Saya tiada nasihat khusus, tetapi berdasarkan pengalaman sendiri, tetapkan sasaran dan bina jalan mengikut rentak kita sendiri. Dengar pandangan orang lain, tetapi tapis dan terima apa yang perlu sahaja. Paling penting, bermimpilah setinggi mana yang kita mahukan," jelasnya.

Cara berfikir sedemikian bukannya lahir selepas dia mengecap populariti, sebaliknya terbentuk hasil pendedahan awal apabila sering menemani ibunya yang ketika itu aktif sebagai penceramah motivasi dan pengurus agensi kumpulan Public Mutual.

Pengalaman duduk di dewan latihan, melihat ibunya berucap di hadapan orang ramai serta menyaksikan sendiri bagaimana matlamat yang ditulis mampu menjadi pembakar semangat membina personaliti Meerqeen hari ini.

"Saya duduk dalam dewan latihan sejak zaman sekolah lagi. Saya tengok ibu buat pembentangan dan bagaimana dia memotivasikan orang ramai daripada kosong," katanya.

Dulu tak percaya ‘goal board’

Pengaruh ibunya turut mendedahkan anak muda berusia 25 tahun itu kepada konsep menetapkan matlamat sejak usia muda. Walau bagaimanapun, anak sulung daripada lima beradik itu mengakui pada awalnya kurang meyakini konsep goal board yang sering digunakan untuk memvisualisasikan impian.

Bagi dirinya ketika itu, idea menampal gambar impian dan menetapkan tempoh masa tertentu kedengaran agak lucu. Tanggapan tersebut bagaimanapun berubah sepenuhnya selepas dia menyaksikan sendiri hasilnya.

"Mula-mula saya memang tak percaya. Orang tulis, koyak gambar, tampal dan kata nak capai dalam masa dua minggu atau sebulan. Namun, bila mereka buat dan betul-betul dapat, saya rasa ini bukan satu gurauan. Ia sebenarnya pembakar semangat," jelasnya.

Dari situ, dia mula memahami bahawa impian yang ditulis bertindak sebagai peringatan untuk terus melangkah apabila berdepan cabaran. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini pula bukannya alasan untuk berhenti, sebaliknya menjadi pencetus untuk berusaha lebih gigih.

“Kalau tak dapat, saya akan marah dan work harder untuk memastikan hasrat tersebut tercapai,” ujarnya.

Bukan ikut rentak orang lain

Prinsip tersebut turut menjadi pegangan pelakon drama bersiri Melur Untuk Firdaus ini dalam mengemudi perjalanan hidup dan kerjayanya. Dia percaya setiap individu mempunyai laluan tersendiri dan tidak perlu tergesa-gesa mengikut kelajuan orang lain.

"Kalau pengalaman saya, saya akan tetapkan sasaran dan rentak sendiri. Dengar apa orang cakap, tapi terima apa yang patut sahaja," katanya.

Bagi Meerqeen, tidak salah mendengar pandangan luar, namun pada akhirnya seseorang perlu tahu perkara yang benar-benar sesuai dengan diri sendiri.

Peningkatan usia dan pengalaman banyak mengajar dirinya membuat pertimbangan matang, terutamanya berkaitan imej serta kepercayaan pelbagai jenama yang bekerjasama dengannya.

"Saya faham, jenama akan pilih seseorang disebabkan nilai yang dibawanya kepada jenama itu sendiri, bukan semata-mata cerita peribadi atau apa yang pernah dilakukan," katanya.

Takut bila berdepan kontroversi

Dia yang pernah menduduki tempat ketiga program realiti Hero Remaja 2019/2020 itu turut mengakui kontroversi atau perkara yang menjejaskan imej amat menakutkan kerana dia turut mempunyai keluarga dan kerjaya yang perlu dipelihara.

"Kalau saya orang biasa pun takut juga sebab saya ada kerjaya, keluarga dan perkara yang perlu dijaga.

"Namun, pengalaman menjadikan saya lebih matang untuk mengelak perkara yang boleh mencemarkan kerjaya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon tinggi lampai ini yang juga duta siri telefon pintar REDMI Note 17 Series di Malaysia berpeluang merasai pengalaman berbeza apabila memegang peranan sebagai pengurus kedai dalam satu aktiviti jenama tersebut baru-baru ini.

Biasa berada di hadapan kamera, pengalaman berdepan secara langsung dengan pelanggan, menyambut kehadiran mereka dan memastikan keselesaan setiap pengunjung memberikan perspektif baharu buat dirinya.

"Saya betul-betul memainkan watak pengurus dengan baik. Cara saya menyambut orang dalam kedai, bercakap dengan mereka dan membuatkan pelanggan gembira adalah satu rezeki serta pengalaman yang menyeronokkan," katanya.

Sumber gambar: Instagram Meerqeen