‘Harap my parents dapat tengok anak-anak saya membesar’ - Elizabeth Tan pilih IVF, mahu dua anak sebelum usia 35

Iklan

BAGI Elizabeth Tan, perjalanan mendapatkan cahaya mata bukan sesuatu yang mudah. Selepas melalui keguguran dan beberapa percubaan rawatan kesuburan, penyanyi dan pelakon itu masih memilih untuk meneruskan ikhtiar menerusi kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

Lebih daripada sekadar impian untuk bergelar ibu, Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, mempunyai satu harapan yang cukup dekat di hati iaitu mahu melihat ibu bapanya berpeluang mengenali dan menyaksikan sendiri anak-anaknya membesar.

Iklan
Iklan

Elizabeth dan suaminya, Dr Siew Jim Ding, yang mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021, sudah berusaha mendapatkan zuriat sejak tiga tahun lalu.

Perjalanan rawatan itu juga bukan perkara yang disembunyikan daripada peminatnya. Malah, Elizabeth memilih untuk berkongsi sebahagian pengalaman tersebut sebagai gambaran sebenar mengenai proses yang dilaluinya.

Iklan

“Sudah tentu saya akan berkongsi dengan peminat kerana saya rasa ini adalah sebahagian besar daripada perjalanan dan kehidupan saya.

“Cuma yang saya tidak ceritakan, sebenarnya pemindahan embrio akan dilakukan tahun depan. Kami baru menjalani proses pengambilan telur tetapi kami simpan (bekukan) dahulu,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Iklan

Menurut Elizabeth, keputusan untuk menangguhkan pemindahan embrio dibuat kerana dia bakal menjalani penggambaran sebuah filem pada April tahun depan.

Justeru, buat masa ini tumpuannya adalah menyiapkan proses pengambilan dan persenyawaan telur terlebih dahulu sebelum pemindahan embrio dilakukan selepas penggambaran selesai.

“Saya akan masukkan tahun depan sebab saya akan jalani penggambaran sebuah filem pada April tahun depan. Selepas selesai, terus kita lakukan pemindahan embrio.

“Jadi tahun ini, saya hanya keluarkan telur saya dan kemudian memfertilkan dengan sperma Jim. Kemudian mereka simpan dahulu. Tahun depan, saya ada filem besar yang saya betul-betul mahu buat.

“Sebenarnya, saya telah memutuskan sama ada mahu memasukkannya sekarang atau membuat filem itu dahulu. Tetapi saya rasa perlu membuat filem itu dahulu. Itulah keutamaan saya,” ujarnya.

Perjalanan menuju IVF juga hadir bersama cabaran tersendiri. Elizabeth sebelum ini pernah mendedahkan mengalami dua kali keguguran pada 2024 ketika usia kandungan sekitar enam hingga tujuh minggu.

Katanya, selepas keguguran, perubahan hormon yang dialami turut memberi kesan kepada rutin kehidupannya untuk tempoh yang agak panjang.

“Selepas keguguran dahulu saya akui tidak mengamalkan pantang dengan sempurna dan mungkin juga itu antara punca hormon dalam diri berubah sehingga setahun saya tidak datang haid dan beberapa bulan kebelakangan ini baru kembali normal.

“Itu yang membuatkan saya positif untuk meneruskan dengan IVF sebab rawatan intrauterine insemination (IUI) sebanyak dua kali sebelum ini tidak berhasil,” katanya.

Enggan meletakkan harapan

Kesan rawatan hormon juga bukan sesuatu yang mudah buat Elizabeth. Dia mengakui mengalami perubahan fizikal termasuk masalah kulit dan pertambahan berat badan selepas menjalani suntikan IVF.

“Apabila saya membuat suntikan untuk IVF memang ada kesan pada tubuh. Dua minggu saya tidak keluar rumah kerana terlalu banyak jerawat, berat badan meningkat. Jadi saya hanya duduk di rumah sahaja,” ujarnya.

Meskipun sudah melalui pelbagai pengalaman, Elizabeth memilih untuk tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap percubaan terbaharunya.

Baginya, IVF bukan jaminan seseorang pasti memperoleh cahaya mata dan dia mahu menjalani setiap proses satu demi satu tanpa terlalu memikirkan hasil akhirnya.

“Saya tidak mahu rasa teruja. Saya tidak mahu ada harapan atau apa-apa. Kerana saya pernah melakukan IUI, prosedur yang berbeza. Dua kali pun tidak lekat.

“Setiap kali saya cuba, tanpa rasa teruja pun tidak lekat. Oleh itu, saya tidak mahu ada harapan. Kerana IVF tidak semestinya 100 peratus saya akan dapat bayi.

“Oleh itu, saya hanya melakukannya hari demi hari. Kemudian, tahun depan baru saya mahu masukkan. Jadi, tahun depan baru saya mahu berfikir,” katanya.

Ingin 2 anak sebelum 35 tahun

Elizabeth yang sebelum ini menyimpan impian untuk memiliki anak sebelum berusia 30 tahun mengakui perancangan hidupnya tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Namun, pada usia 33 tahun, dia masih memilih untuk meneruskan usaha mendapatkan zuriat, malah sudah membelanjakan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 setakat ini.

“Saya sudah membelanjakan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 setakat ini untuk mendapatkan bayi tetapi masih belum hamil. Harap kali ini ada rezeki.

“Rancangan saya sebelum saya berumur 35 tahun, saya mahu dua anak. Sekarang satu pun tidak ada. Oleh itu, saya rasa kita harus teruskan,” katanya.

Antara sebab terbesar yang menguatkan semangatnya ialah keinginan untuk memberikan pengalaman bergelar datuk dan nenek kepada ibu bapanya.

“Ibu bapa saya pun semakin tua. Ayah saya sudah 70 tahun. Mama pula 67 tahun. Saya mahu mereka mengenali anak-anak saya. Saya mahu mereka melihat anak-anak saya membesar.Sebab itu saya melakukannya (IVF) untuk mereka dan diri saya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Elizabeth sedar soal zuriat akhirnya bergantung kepada ketentuan Tuhan. Dia terbuka dengan apa sahaja yang bakal berlaku selepas segala usaha dilakukan.

“Tidak ada orang yang mahu melakukan IVF. Itu adalah pilihan pertama. Jika boleh, semua orang mahu kehamilan secara natural.

“Kalau masih tidak menjadi, bermakna mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat anak dalam hidup ini,” katanya.

Suami penyokong kuat

Dalam perjalanan yang penuh emosi itu, Elizabeth turut bersyukur kerana mempunyai suami yang sentiasa berada di sisinya.

Menurutnya, latar belakang suami sebagai doktor banyak membantu ketika dia berdepan persoalan berkaitan rawatan.

“Suami saya sangat sweet orangnya. Dan saya bersyukur bahawa dia seorang doktor juga.

“Oleh itu, dia tahu sifat perubatan. Dia tahu bagaimana untuk memastikan apa juga yang saya ingin tahu, dia akan jawab segala persoalan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizabeth bakal muncul menerusi filem seram Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay yang dijangka menemui penonton pada 15 Oktober depan.

Selain Elizabeth, filem berkenaan turut menampilkan Zul Ariffin, Nadhir Nasar dan Aila Azizul.