‘Saya tak pegang telefon bila keluar dengan anak’ – Momen comel Kamal Adli bawa Hawra Uqaira jalan-jalan, jawab isu introvert

Iklan

KESIBUKAN di set penggambaran selalunya membuatkan masa berkualiti bersama insan tersayang agak terhad. Namun bagi pelakon popular, Kamal Adli, peluang keemasan tetap diguna sebaiknya apabila dapat meluangkan masa santai bersama anak perempuannya baru-baru ini.

Kehadiran si kecil Hawra Uqaira yang kelihatan 'melekat' dan tidak mahu berjauhan dengannya ketika hadir di acara Saya & MAGGI® Mesra Bersama Karnival this Malaysia Day season! mencuri tumpuan ramai.

Iklan
Iklan

Bagi Kamal, peluang membawa anak berjalan-jalan seperti itu adalah momen spontan yang amat bermakna buat diri dan keluarga.

"Hari ini bawa dia jalan-jalan. Saya tak sangka dia melekat macam ini. Hari ini memang hari untuk saya dapat keluar dengan dia, jadi alang-alang bawa keluar terus.

Iklan

"Saya dah mula shooting dan nak dapat free time itu memang susah. Jadi, setakat turun event macam ini, dia tak adalah ganggu kerja pun," katanya.

Bagi Kamal, membawa anak bersama ke majlis santai langsung tidak mengganggu tugasannya, malah ia menjadi medan terbaik untuk berehat seketika daripada kesibukan jadual kerja di set penggambaran.

Iklan

Dalam kesempatan tersebut, Kamal turut ditanya perasaan sebagai selebriti sekiranya ada individu yang tidak mengenalinya.

Menjawab persoalan media itu, kongsi pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Baginya, sebagai seorang selebriti, bukan semua orang perlu mengenali dirinya, apatah lagi setiap individu mempunyai minat dan perhatian berbeza.

“Saya rasa tak ada masalah kalau orang tak kenal. Saya pun selalu berdepan dengan benda macam itu. Kadang-kadang orang panggil saya salah nama, panggil saya Farid Kamil, Remy Ishak pun pernah.

“Saya tak ada isu pun. Saya rasa benda itu kelakar. Kita pun tak boleh mengharapkan orang kenal kita,” ujarnya sambil tersenyum.

Pada masa sama, dia juga menghargai mereka yang masih sudi menegur, bergambar atau sekadar menyapa apabila terserempak dengannya.

“Saya hargai semua orang yang sudi ambil gambar dengan saya,” katanya.

Dalam kesempatan sama, dia turut mengulas mengenai segelintir netizen yang menyifatkannya sebagai seorang yang introvert.

“Saya pernah menang, juara Super Spontan. Part mana saya introvert itu? Tak adalah. Saya memang macam itu,” katanya sambil ketawa.

Menurutnya, sikapnya yang dilihat kurang aktif di media sosial sebelum ini lebih berkait dengan keutamaan terhadap keluarga dan kerjaya.

“Dulu saya memang kurang sikit dengan media sosial. Saya tak update apa-apa sebab memang saya fokus dengan keluarga. Saya bekerja.

“Bila saya keluar dengan anak, saya memang tak pegang telefon. Saya tak layan telefon,” jelasnya.

Namun, keadaan itu berubah sedikit apabila Kamal kini lebih banyak meluangkan masa di Threads.

Menurutnya, platform tersebut menjadi ruang untuk dia berinteraksi dengan orang ramai, membaca perkongsian pengguna serta mencuit hati mereka menerusi komen-komen bersahaja.

“Saya tak pernah claim saya ketua Threads atau apa-apa. Ada juga yang cakap, siapa lantik dia jadi ketua Threads? Saya pun tak lantik diri sendiri.

“Saya cuma memang orang yang banyak masa untuk Threads. Mungkin orang lain tak banyak masa. Saya ada masa untuk baca dan dengar rintihan orang,” ujarnya lagi.

Kamal mengakui, menerusi media sosial, dia turut melihat pelbagai sisi kehidupan masyarakat yang berkongsi masalah masing-masing, termasuk berkaitan kewangan.

Bagaimanapun, dia sedar tidak semua masalah mampu diselesaikan olehnya.

“Saya faham banyak sangat orang di Malaysia ini ada isu dan masalah, soal wang ringgit dan sebagainya. Saya tak boleh nak tolong semua orang.

“Apa yang saya boleh buat, kalau ada lawak bodoh, saya bagi mereka gelak. Kebanyakan bila saya balas komen-komen yang kelakar, akan dapat banyak like.

“Jadi, saya faham mereka ini semua perlukan hiburan. Jangan serius sangat,” katanya.