KATA-kata tentang bentuk tubuh mungkin mudah dilontarkan, namun kesannya boleh meninggalkan kesan mendalam kepada individu yang menerimanya.
Lebih-lebih lagi apabila seseorang wanita sedang melalui perubahan besar dalam kehidupan selepas bergelar ibu.
Situasi itu mendapat perhatian penyanyi Shila Amzah yang memilih untuk menyampaikan pesanan penuh sokongan buat Najwa Latif susulan isu 'body shaming' yang membabitkan penyanyi berkenaan baru-baru ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Shila menyentuh mengenai perubahan yang dilalui wanita selepas menjadi ibu, termasuk aspek fizikal, mental dan emosi.
Menurutnya, setiap wanita mempunyai pengalaman tersendiri dalam melalui perubahan tersebut dan perkara itu seharusnya diraikan dengan lebih banyak empati.
“Ada antara perubahan itu yang boleh menjadi sangat mencabar, dan setiap ibu mengalaminya dengan cara yang berbeza.
“Jadi, sentiasalah memilih untuk berbuat baik. Setiap ibu tetap cantik dalam setiap fasa perjalanan mereka,” tulisnya.
Dalam pada itu, Shila turut menyatakan penghargaan terhadap Najwa yang disifatkannya sebagai antara insan paling baik dan manis pernah ditemui sepanjang berada dalam industri seni.
Bagi Shila, penyanyi itu seharusnya menerima kasih sayang dan layanan yang baik, bukannya kata-kata yang boleh mengguris perasaan.
“Najwa Latif sentiasa menjadi antara insan paling baik dan manis yang pernah saya temui dalam industri ini.
“Dia tidak layak menerima apa-apa selain kasih sayang dan kebaikan,” ujarnya.
Pesanan Shila itu secara tidak langsung mengajak orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memberikan komen mengenai penampilan seseorang.
Perubahan pada tubuh, khususnya selepas melalui fasa menjadi ibu, adalah pengalaman yang tidak sama bagi setiap wanita.
Justeru, sokongan dan kata-kata yang membina pastinya lebih bermakna daripada komen mengenai fizikal yang boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang.