BAGI ibu bapa, menyediakan bekal untuk anak ke sekolah mungkin rutin biasa. Namun, apabila makanan yang dibawa menjadi perhatian rakan-rakan, lain pula ceritanya.
Itulah yang berlaku kepada pelakon Anzalna Nasir apabila anak sulungnya, Eidrees, pulang dari sekolah membawa cerita tentang rakan-rakan yang teruja melihat bekal makanan yang disediakan oleh ibunya.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik nama sebenar, Nur Anzalna Md Nasir memberitahu, anak sulungnya bercerita bahawa beberapa rakannya terkejut melihat makanan dalam kotak bekalnya kerana kelihatan menyelerakan.
“Eidrees balik sekolah hari ini cerita kawan-kawan dia terkejut tengok lunch box dia. I tanya kenapa, katanya kawan-kawan cakap makanan dia nampak sedap sampai ada yang minta makanan dia,” katanya.
Cerita ringkas itu membuatkan finalis Dewi Remaja 2009/2010 tersentuh. Malah, dia terfikir untuk menyediakan makanan lebih supaya anaknya dapat berkongsi dengan rakan-rakan.
“Tapi paling buat I happy bila Eidrees cakap, ‘Thank you, mommy masak sedap.’
“Simple words macam ini pun dah cukup buat I rasa bersemangat nak masak lagi dan buat yang lebih baik untuk anak-anak,” ujarnya.
Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi pengikut. Ada yang berseloroh seolah-olah mahu menjadi guru dan rakan sekelas Eidrees semata-mata kerana ingin merasa masakan Anzalna.
“Saya guru besar Eidrees. Harap puan masak lebih esok. Jika tidak, saya tak benarkan Eidrees masuk ke kelas. Ingat tau.”
“Hi aunty, saya classmate Eidrees. Esok menu apa aunty?”
“Tq auntie. Saya classmate Eidrees. Yeah, esok dah ada bekal.”
Tidak kurang juga yang tampil dengan gurauan mahu turut merasa bekal tersebut.
“Hi Puan @anzalnanasir88, saya guru kelas Eidrees. Eidrees ada bagi saya rasa juga. Sedap Puan masak. Esok menu apa pula yang Eidrees akan bawa? Ingat nak tumpang dengan Eidrees, jimat sikit…”
“Auntie, saya kawan Eidrees yang cakap tu tadi. Esok saya nak bekal sama macam Eidrees tau. Tapi delivery ke rumah saya. PM for my address ye…”
Gelagat pengikutnya itu turut membuatkan Anzalna terhibur apabila menyedari cerita bekal Eidrees sudah mendapat ‘kawan’ dari seluruh Malaysia.
“Hahahahahaha esok aunty tak jadi masak. Tak tahu pula yang Eidrees ada kawan baik satu Malaysia,” balasnya secara berseloroh.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut membuatkan beberapa ibu berkongsi pengalaman mereka sendiri apabila bekal anak menjadi perhatian rakan-rakan di sekolah.
“Sama macam anak saya. Penyudahnya, waktu balik dia cakap lapar dan tanya ibu ada masak apa hari ini. Dia cerita kawan-kawan kata sedap bekal dia dan habiskan. Lepas itu esok, saya buat bekal lain untuk kawan-kawan dia. Tapi tak bolehlah selalu.”
Seorang lagi ibu pula berkongsi kisah lebih kurang sama apabila anaknya meminta makanan tambahan untuk rakan-rakan.
“Sama dengan anak-anak saya. Balik mesti beritahu kawan-kawan makan bekal dia. Kalau ada rezeki lebih, memang saya buat ekstra untuk kawan-kawan mereka. Kalau ramai, saya minta duit modal.
“Sekali anak balik cakap 20 orang kawan dia nak roti untuk esok.”
Daripada sekadar bekal makanan, nampaknya kotak makanan Eidrees bukan sahaja mengenyangkan, malah menjadi ruang untuk dia berkongsi dengan rakan-rakan.
Bagi Anzalna pula, pujian ringkas daripada anak sendiri sudah cukup menjadi pembakar semangat untuk terus menyediakan hidangan buat keluarga.