‘Menitik juga air mata kami berdua...’ – Azmi Saat dedah anak disahkan dalam spektrum autisme, akui fikiran bersedia, hati belum tentu kebal

Iklan

SETIAP ibu bapa pasti mempunyai gambaran tersendiri tentang perjalanan membesarkan anak. Namun, ada ketika kehidupan membawa mereka ke jalan yang tidak pernah dijangka.

Itulah yang dilalui penyanyi Azmi Saat dan isterinya, Nazira, selepas anak perempuan mereka, Khalisa Insyirah, 2 tahun 10 bulan, disahkan berada dalam spektrum autisme.

Iklan
Iklan

Menurut Azmi, mereka sebenarnya sudah menyedari terdapat perbezaan pada perkembangan Khalisa sejak anak kecil itu berusia kira-kira setahun setengah, terutama dari aspek komunikasi.

Malah, Nazira yang mempunyai diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak turut merasakan perkembangan Khalisa memerlukan perhatian lebih.

Iklan

“Sejak Khalisa berumur lebih kurang setahun setengah, kami sudah mula perasan ada yang tidak biasa pada perkembangannya, terutama dari segi komunikasi dan beberapa perkembangan lain.

“Walaupun ketika itu belum ada diagnosis, sebagai ibu yang mempunyai diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri saya rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian,” katanya.

Iklan

Tidak mahu menunggu tanpa berbuat apa-apa, pasangan itu mula mendapatkan maklumat dan mencari bantuan yang bersesuaian untuk Khalisa.

Antaranya, Khalisa menjalani terapi cara kerja selain mengikuti Early Intervention Programme (EIP).

Segala usaha dilakukan mengikut kemampuan mereka, sambil terus berharap perkembangan Khalisa akan bertambah baik.

Namun, selepas melalui tempoh menunggu yang panjang, mereka akhirnya memperoleh jawapan yang selama ini dicari.

Doktor mengesahkan Khalisa berada dalam spektrum autisme.

Azmi mengakui, walaupun mereka sudah lama bersedia secara mental dengan kemungkinan tersebut, pengesahan berkenaan tetap mengundang air mata.

“Tetapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal. Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua,” ujarnya.

Bagaimanapun, air mata itu bukan kerana mereka tidak dapat menerima keadaan Khalisa.

Sebaliknya, sebagai ibu bapa, pelbagai perkara mengenai masa depan anak kecil mereka mula bermain di fikiran.

Azmi berkata, Khalisa tetap anak yang sama seperti sebelum mereka menerima diagnosis tersebut.

“Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran,” katanya.

Bagi pasangan itu, perjalanan membesarkan Khalisa mungkin tidak seperti yang pernah mereka bayangkan sebelum ini.

Namun, mereka memilih untuk menerima ketentuan tersebut dan melihat diagnosis berkenaan sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih jelas.

Malah, Azmi bersyukur kerana kini mereka mengetahui perkara yang perlu dilakukan, termasuk mendapatkan ilmu, sokongan dan bantuan yang sesuai untuk perkembangan Khalisa.

“Kami sebagai ayah dan ibu juga perlu belajar dan melakukan perubahan untuk membantunya,” jelasnya.

Selepas ini, pasangan berkenaan akan meneruskan terapi Khalisa selain mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan keperluannya, termasuk urusan pendaftaran OKU serta sokongan yang bersesuaian.

Azmi turut memilih untuk berkongsi kisah tersebut bukan kerana mahu meraih simpati, sebaliknya berharap perkongsian itu dapat memberi sedikit kekuatan kepada ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui pengalaman sama.

Menurutnya, setiap anak mempunyai kemampuan, kelebihan, kekurangan dan perkembangan pada waktunya sendiri.

“Tugas kita bukan memaksa mereka menjadi seperti orang lain. Tugas kita ialah memahami kemampuan mereka, membantu mereka berkembang sebaik mungkin dan meraikan setiap kemajuan, walaupun bagi orang lain ia kelihatan kecil,” katanya.

Untuk Azmi dan Nazira, perjalanan mereka sebagai ibu bapa kepada Khalisa kini memasuki fasa baharu.

Mereka mungkin belum mempunyai semua jawapan tentang masa depan, tetapi mereka memilih untuk belajar sedikit demi sedikit dan berjalan bersama anak kesayangan itu.

“Insya-ALLAH, kita belajar sama-sama, ya sayang. Doakan perjalanan kami dipermudahkan,” katanya.

Untuk rekod, Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Allahyarham Khairul Afnan, yang meninggal dunia pada 30 September 2021 akibat kegagalan fungsi otak.

Pasangan itu kemudiannya dikurniakan cahaya mata perempuan pada November 2023 yang diberi nama Khalisa Insyirah.