SATU ucapan hari lahir yang sepatutnya menjadi tanda kasih seorang ibu bertukar perhatian apabila Abby Abadi menitipkan kata-kata yang mengundang pelbagai tafsiran.
Menerusi perkongsian sempena ulang tahun kelahiran anak bongsunya baru-baru ini, pelakon itu antara lain menyatakan anak-anak tidak perlu datang sekiranya dia atau suamisakit atau meninggal dunia.
Kenyataan berkenaan kemudian mencetuskan persoalan mengenai keadaan sebenar hubungan Abby dengan anak-anak, termasuk dakwaan bahawa dia seolah-olah mendoakan perkara tidak baik terhadap mereka.
Bagaimanapun, Wanita itu menjelaskan perkara tersebut bukanlah doa, sebaliknya luahan hati yang lahir daripada kekecewaan terhadap beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini.
“Jangan datang itu bukan doa. Itu kenyataan. Kenyataan yang mana benda itu yang ada dalam hati saya sekarang,” katanya ketika ditemui Melodi baru-baru ini.
Menurut Abby, ucapan hari lahir tersebut hanya ditujukan kepada anaknya, manakala bahagian lain dalam hantaran berkenaan merupakan perkongsian mengenai perkara yang sedang dilaluinya.
Dia turut menafikan dakwaan bahawa luahannya berpunca daripada rasa dengki terhadap pihak tertentu atau majlis yang dikaitkan dengan keluarga bekas suaminya.
Kongsinya lagi, dia sendiri tidak mengetahui mengenai majlis berkenaan kerana sudah tidak mengikuti perkembangan mereka di media sosial.
Sebaliknya, luahan tersebut menurutnya lebih berkait dengan perasaan apabila merasakan hubungan bersama anak-anak tidak lagi seperti dahulu.
Hubungan dengan anak-anak sebelum ini baik
Mengulas keadaan hubungannya dengan anak-anak, Abby menegaskan perkara yang berlaku bukanlah sesuatu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, dia dan anak-anak sebelum ini mempunyai hubungan yang baik, apatah lagi mereka membesar bersamanya sejak kecil.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan juga mengakui banyak mengalah dalam pelbagai perkara demi menjaga hubungan dengan orang di sekeliling, termasuk ketika berdepan situasi yang menyakitkan hatinya.
“Benda itu baru beberapa ketika ini. Bukan lama dah. Dengan anak-anak pun sebenarnya saya baik saja,” ujarnya.
Namun, beberapa kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini membuatkan Abby berasa ralat dan kecewa. Dia memilih untuk tidak mendedahkan perkara berkenaan secara terperinci kerana menganggap ada hal yang tidak perlu dikongsikan kepada umum.
‘Saya tidak faham ‘move on’ itu maksudnya apa?’
Dalam pada itu, ahli kumpulan Elite tersebut turut menolak tanggapan bahawa dirinya masih belum ‘move on’ daripada kisah rumah tangga bersama Norman.
Menurutnya, setiap kali dia bercakap mengenai anak-anak, nama bekas suaminya sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana mereka merupakan sebahagian daripada keluarga tersebut.
Jelasnya, dia tidak mempunyai keinginan untuk kembali bersama Norman dan apa yang diluahkan ketika ini bukanlah kerana masih terikat dengan hubungan lama.
“Kalau tidak ‘move on’ itu maknanya macam saya hendakkan lagi Norma Hakim. Tapi benda itu tidak berlaku pun. Saya tidak ada masalah,” katanya.
Sebaliknya, dia melihat luahan tersebut sebagai gambaran kekecewaan terhadap situasi yang berlaku, bukannya cubaan untuk membangkitkan semula kisah silam.
Pernah kembali berdamai demi anak-anak
Abby berkata, selepas melalui fasa perpisahan, dia sebenarnya sudah berdamai dengan takdir dan pernah kembali membina hubungan baik dengan pihak bekas suami.
Malah, mereka pernah menjalani kehidupan seperti sebuah keluarga demi anak-anak walaupun sudah tidak lagi bersama sebagai pasangan.
Namun, keadaan berubah apabila berlaku beberapa perkara yang tidak pernah dijangka olehnya.
Pelakon drama Gerak Khas itu mengakui selama ini dia tidak pernah mahu meletakkan dirinya sebagai mangsa dan sanggup mengalah dalam banyak keadaan.
Bagaimanapun, apabila melihat anak-anak seolah-olah tidak lagi menyebelahinya, dia mula mempersoalkan semula beberapa keputusan yang pernah dibuat.
“Saya rasa macam saya buat kesilapan besar. Saya tidak boleh hendak cerita semua.
"Yang saya ada itu memang benda-benda yang membuatkan saya kecewa. Itu saja saya boleh cakap,” jelasnya.
Tuntutan nafkah antara punca hubungan semakin renggang
Menyentuh mengenai punca hubungan dengan pihak bekas suami kembali renggang, Abby mendedahkan ia berkait dengan tuntutan nafkah.
Menurutnya, dia sebelum ini tidak pernah menuntut nafkah dan hanya meminta bayaran yang dianggap tertunggak, selain keperluan asas seperti tempat tinggal serta perbelanjaan makan anak-anak.
“Saya cuma minta balik nafkah yang pada saya kira tertunggaklah sebab dia tak bagi langsung. Saya cuma minta tempat tinggal dengan nafkah makan anak-anak saja,” katanya.
Isteri kepada Muhammad Faizal Zakaria turut menafikan dirinya berasa cemburu apabila melihat anak-anak pihak bekas suami menikmati kehidupan yang lebih selesa, termasuk peluang bercuti ke luar negara.
Sebaliknya, dia mempersoalkan mengapa anaknya sendiri tidak mendapat peluang yang sama.
Menurutnya, perkara itu antara sebab dia memilih untuk bersuara dan menuntut hak yang dirasakan wajar.
Tidak nampak jalan untuk berdamai
Ketika ditanya sama ada masih ada ruang untuk berdamai dengan pihak bekas suami serta anak-anak, Abby mengakui dia sendiri tidak nampak jalan ke arah tersebut buat masa ini.
Namun, dia memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH dan tidak mahu lagi memaksa keadaan.
“Saya tidak tahulah. Saya tidak nampak jalan. Tidak apalah, saya berserah kepada ALLAH,” katanya.
Abby berkata, pengalaman yang dilalui membuatkan dia belajar untuk tidak terlalu meletakkan harapan kepada manusia.
Dia juga tidak mahu mengejar sesiapa yang memilih untuk menjauh, sebaliknya membiarkan keadaan berlalu begitu sahaja.
“Kalau tidak dapat selesai di dunia, kita jumpa di akhirat nanti,” katanya.
‘Saya tidak berharap pada manusia’
Dalam perkembangan sama, dia turut menitipkan pesanan buat anak-anaknya yang kini mungkin semakin menjauh.
Dirinya memilih untuk menghormati apa sahaja keputusan yang dirasakan terbaik oleh anak-anak, meskipun mengakui keadaan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima sebagai seorang ibu.
Bagi Abby, dia sudah melakukan apa yang termampu dan kini mahu belajar melepaskan segala-galanya.
“Saya sudah berusaha untuk melepaskan segalanya. Saya tidak berharap pada manusia. Saya berharap hanya pada ALLAH. Jadi doakan yang baiklah untuk semua,” katanya.