BERADA di pentas dan menjadi perhatian ramai mungkin kelihatan indah dari luar, tetapi kehidupan sebagai anak seni tidak selalunya semudah yang dilihat.
Bagi penyanyi Nadeera, kecaman dan komen negatif daripada netizen adalah antara perkara yang perlu dihadapi apabila memilih kerjaya dalam industri hiburan.
Namun, sekuat mana seseorang cuba kelihatan tenang, perasaan tetap boleh tersentuh.
“Memang kita kena kuat, tapi manusia ada hati. Ada masa kita menangis. Kadang-kadang kita buat-buat tak dengar, tak mahu tahu pun sebab kita nak kuat untuk bekerja,” katanya.
Nadeera tidak menafikan dirinya juga pernah menjadi sasaran komen mengenai fizikal dan rupa. Pengalaman itu membuatkan dia memahami bahawa dalam industri hiburan, bakat bukan satu-satunya perkara yang sering menjadi perhatian.
Menurut pemilik nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, penampilan juga tidak dapat dipisahkan daripada dunia seni, meskipun vokal tetap menjadi keutamaan buat dirinya.
“Kalau ikut saya, vokal dulu yang paling penting. Tetapi kita kena akui dalam industri ini, itulah yang orang mahu,” katanya.
Menghulurkan mikrofon
Justeru, Nadeera memilih untuk berusaha memberikan yang terbaik buat dirinya, tanpa terlalu membiarkan pandangan orang lain mengganggu perjalanan seninya.
Lebih menarik, penyanyi itu turut menjelaskan tentang kebiasaannya menghulurkan mikrofon kepada penonton ketika membuat persembahan.
Bukan kerana mahu mengelak daripada menyanyi sepenuhnya, sebaliknya Nadeera sememangnya teruja apabila dapat menyanyi bersama peminat, terutama menerusi lagu-lagunya sendiri.
“Saya dari dulu, sebelum dikenali lagi, berharap dapat sing along dengan orang, terutama apabila menyanyikan lagu saya. Sebab itu setiap kali buat persembahan, saya akan hulur mikrofon dan biarkan orang nyanyi. Saya terlalu teruja,” jelasnya.
Dalam berdepan komen negatif pula, Juara Big Stage musim kelima memilih untuk tidak membalas walaupun mengakui ada ketika hatinya geram.
Baginya, mungkin ada sisi positif di sebalik kecaman apabila ia menunjukkan masih ramai yang mengambil berat tentang dirinya.
“Saya tak suka membalas. Geram memang geram, tetapi tak mahu balas. Bila fikir baik, ada baiknya juga sebab dari situ saya tahu ramai yang ambil berat. Sebenarnya ramai yang sayang,” katanya.
Tak block orang
Anak bongsu daripada dua beradik itu juga tidak melihat keperluan untuk menyekat atau ‘block’ individu yang meninggalkan komen negatif. Sebaliknya, dia memilih untuk membaca dan belajar menerima perkara tersebut sebagai sebahagian daripada kehidupan dalam dunia seni.
“Sekecil-kecil hal ada yang mereka nak cakap tentang diri saya. Jadi, saya hanya berterima kasih sahaja. Sampai satu tahap, saya boleh ketawa dengan apa yang mereka katakan,” ujarnya.
Pelantun lagu Bukan Lagi Kita, memasuki industri hiburan bermakna dia perlu bersedia dengan pelbagai pandangan terhadap dirinya.
Pada akhirnya, dia memilih untuk terus melakukan apa yang disukai dan menggunakan muzik sebagai ruang untuk menggembirakan orang lain.
“Saya menyanyi bukan semata-mata untuk diri saya. Saya mahu beri orang dengar dan buat orang lain gembira.”