PENGALAMAN zaman persekolahan mungkin berbeza mengikut generasi, namun bagi penyanyi Nourul Depp, ketegasan guru suatu ketika dahulu menjadi antara kenangan yang masih diingati sehingga hari ini.
Menerusi perkongsian di media sosial, Nourul mengimbas kembali pengalaman ketika bergelar murid, termasuk pernah dicubit di perut, ditarik bahagian jambang sisi (sideburn), berdiri di atas kerusi, dirotan pada tapak tangan serta diarahkan berdiri di bawah panas terik.
Walaupun kedengarannya agak keras mengikut perspektif hari ini, penyanyi itu mengakui dirinya bersyukur pernah melalui pengalaman berkenaan kerana percaya guru turut memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi seseorang.
“Saya kena cubit di perut, kena tarik sideburn. Kena berdiri atas kerusi, kena rotan di tapak tangan dan kena berdiri tengah panas.
“Saya bersyukur sebab kita dapat cikgu hebat. Kerana itu menjadikan siapa saya hari ini. Cikgu adalah ibu bapa kedua, sekolah adalah rumah kedua.
“Harus selamat kerana rumah kita adalah selamat,” katanya.
Menurut Nourul, ketegasan guru pada masa lalu dilihat sebagai salah satu cara mendidik murid supaya lebih berdisiplin dan memikirkan masa depan.
“Tak apa dimarahi dan dirotan sikit-sikit. Demi masa depan anak-anak, terutama generasi Beta dan Alpha.
“Kalau tak tegas sekarang, nanti jadi macam sesetengah Gen Z. Sesetengah ya,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut mengimbas pengalaman masing-masing ketika berada di bangku sekolah.
Antaranya, seorang pengguna berkongsi pernah menjalani hukuman berjalan itik bersama seluruh kelas sehingga mencetuskan gelak tawa dalam kalangan murid.
“Budak Form 1 siap cakap, ‘Kak, tadi masa jalan itik saya sokong kak sebab kak jalan laju.’ Mereka ingat kita lumba,” tulisnya secara berseloroh.
Seorang lagi pula mengimbas pernah diarahkan melakukan ketuk ketampi, berdiri di luar kelas, berdiri di atas kerusi serta dipukul menggunakan pembaris.
Ada juga yang berkongsi pengalaman menerima hukuman lebih mencabar selepas gagal menyiapkan kerja sekolah, termasuk berjalan itik dan melakukan tekan tubi sebagai denda.
Dalam pada itu, sebahagian netizen bersetuju dengan pandangan pelantun lagu Kerana Terluka dan Cinta Azali itu yang mana guru mempunyai peranan besar dalam pembentukan jati diri seseorang.
“Betul... satu lagi, guru lah membentuk jati diri seorang manusia,” komen seorang pengguna.
Tidak kurang juga yang melihat perbezaan antara generasi dahulu dan sekarang banyak dipengaruhi perubahan zaman, termasuk kewujudan media sosial yang membentuk cara kanak-kanak dan remaja berinteraksi serta melihat dunia.
Walaupun kaedah mendidik berubah mengikut masa, perkongsian Nourul jelas menghidupkan kembali memori zaman persekolahan generasi terdahulu yang penuh dengan pelbagai pengalaman, daripada hukuman yang mencuit hati hinggalah kenangan bersama guru yang terus dibawa hingga dewasa.