Hazamin pesan artis baharu bina hubungan dengan media, hati-hati guna media sosial dan sentiasa rujuk orang berilmu – 'Kena ada guru'

Iklan

HUBUNGAN antara artis dan media bukan sekadar soal mendapat liputan, sebaliknya satu hubungan yang perlu dibina dari awal menerusi komunikasi dan sikap saling menghormati.

Bagi ahli kumpulan Inteam, Hazamin atau nama sebenarnya Muhammad Hazamin bin Harun, isu seorang penyanyi nasyid baru-baru ini meluahkan rasa kononnya kurang mendapat perhatian media selepas menerima pengiktirafan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) mungkin berpunca daripada salah faham serta kesilapan teknikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, artis baharu perlu memahami bahawa media juga memainkan peranan penting dalam mengetengahkan perjalanan dan karya seseorang penggiat seni.

“Media pun kenal artis-artis lain, kenal Inteam, Rabbani dan Hijjaz yang memang mesra media. Jadi, artis baharu perlu kenal dan baik dengan media juga.

Iklan

"Itu yang sepatutnya dipelajari artis-artis baharu daripada artis lama,” katanya.

Mengulas situasi yang berlaku pada AIM25, Hazamin melihatnya sebagai satu kemungkinan salah faham memandangkan kategori nasyid merupakan antara kategori terawal diumumkan pada malam berkenaan.

Iklan

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pihak media mungkin belum bersedia untuk merakam momen pemenang ketika diumumkan.

“Bila kategori nasyid diumumkan, pemenang keluar dari tempat itu. Memang media pun belum bersedia sepenuhnya. Ketika kami pula, sampai kategori kedua dan ketiga pun, media masih belum betul-betul bersedia.

“Jadi, saya rasa berlaku sedikit salah faham,” jelasnya.

Karya terbaik

Hazamin turut memuji penganjuran AIM25 di Sarawak yang disifatkannya sangat baik, khususnya dari segi sambutan dan layanan diberikan.

Sementara itu Syah Inteam atau nama sebenarnya Mohd Syahril Abdul Khalid mengingatkan, AIM bukan semata-mata mengenai populariti seseorang artis kerana anugerah berkenaan lebih menekankan pengiktirafan terhadap karya muzik.

“Konsep AIM berbeza dengan Anugerah Bintang Popular. AIM bukan mengenai populariti semata-mata, sebaliknya karya yang diangkat sebagai terbaik mungkin tidak begitu dikenali ramai.

"Malah, pengiktirafan terhadap kategori nasyid selepas beberapa tahun tidak dipertandingkan dianggap sebagai satu bentuk penghargaan terhadap genre berkenaan.

“Bila kategori nasyid diwujudkan semula, kami melihatnya sebagai satu penghargaan. Mereka mahu nasyid ada di situ dan kehadiran kami menjadikan suasana itu lebih lengkap.

“Sebagai orang yang berada dalam industri muzik, perkara itu perlu kita hargai,” ujarnya.

Perlu ada guru

Dalam pada itu, dia mengakui media sosial sememangnya penting buat artis masa kini, namun penggunaannya perlu disertai pertimbangan dan rujukan yang betul.

“Kalau kita nak post sesuatu, lebih baik rujuk kepada orang yang lebih berilmu. Terutamanya dalam bidang nasyid. Kami sendiri kalau nak hasilkan lagu, kadang-kadang perlu rujuk ustaz.

"Kita promosi, kemudian macam-macam perkara boleh keluar. Jangan tersalah langkah dan paling penting, perlu ada guru,” katanya.

Mereka berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media pelancaran Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya, baru-baru ini.

Konsert anjuran Inteam Records itu dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Oktober ini di Istana Budaya.

Bukan sekadar membawa peminat mengimbau nostalgia, Rindu Sumayyah turut menjadi penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan dan legasi Hijjaz yang mewarnai perkembangan industri nasyid tanah air sepanjang tiga dekad.