Sari Yanti kongsi detik cemas rumah berbau gas, nasihat jangan tekan suis elektrik – ‘Masa panik macam-macam boleh jadi’

Iklan

PELAKON Sari Yanti berkongsi detik cemas apabila kediamannya tiba-tiba dipenuhi bau gas yang kuat sekitar jam 1 pagi.

Ketika kejadian, dia bersama suaminya, pelawak Jep Sepahtu, menyedari kemungkinan berlaku kebocoran gas di bahagian dapur.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan panik dan tidak pasti tindakan seterusnya yang perlu dilakukan, pasangan itu memilih untuk menghubungi pihak bomba dan penyelamat bagi mendapatkan bantuan.

“Kisah semalam. Pukul satu pagi rumah bau gas yang sangat kuat. Alamak gas bocor, lepas tu terus buka pintu rumah dapur bagi bau gas keluar tapi tak tahu apa lagi yang patut dibuat, jadi call bomba.

Iklan

“Terima kasih banyak-banyak @bombamalaysia_official sebab bantu kami masa kami cemas. Sampai kosong tong gas yang bocor.

“Semoga ALLAH SWT balas dengan kebaikan jasa mereka yang sentiasa membantu orang yang dalam kesulitan, dan semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan ALLAH SWT,” kongsi Sari menerusi media sosialnya.

Iklan

Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai dengan lebih 26,000 tanda suka, selain dihujani komen netizen yang turut berkongsi pengalaman berdepan situasi sama.

Antara perkara yang menjadi perhatian ialah persoalan mengenai penggunaan suis elektrik ketika berlaku kebocoran gas.

Seorang pengguna bertanya kepada Sari sama ada lampu masih boleh dinyalakan ketika rumah berbau gas.

“Kak Sari, kalau bau gas bocor kita still boleh buka lampu ke?”

Pertanyaan itu turut mengundang respons pengguna lain yang berkongsi pandangan supaya bekalan elektrik ditutup menerusi papan suis utama.

Sari kemudian menjelaskan bahawa penggunaan suis perlu dielakkan kerana dikhuatiri boleh menghasilkan percikan api.

“Tak boleh. Sebab boleh spark dan letup, bomba cakap. Tapi alhamdulillah lampu memang terbuka je kat dapur tadi. Jadi kita orang memang tak ada tekan apa-apa suis,” jelasnya.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung membuka ruang kesedaran mengenai perkara yang perlu diberi perhatian apabila terhidu bau gas di rumah.

Rata-rata netizen mengakui mereka sendiri tidak mengetahui perkara berkenaan dan menganggap perkongsian Sari sebagai satu peringatan berguna, khususnya ketika berdepan situasi panik.

“Wow, baru tahu. Ini pun salah satu awareness juga kan untuk sesiapa yang belum tahu. Masa tengah panik macam-macam boleh jadi.”

Ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman pernah berdepan kebocoran gas di kediaman masing-masing.

“Saya pernah juga mengalami gas bocor. Rumah saya flat. Apa saya buat, saya letak luar tong gas tu, lepas tu saya ambil kain basah, saya letak atas gas tu sampai gas tu kosong. Masa mula-mula tu cemas juga, tiba-tiba teringat masa sekolah dulu bomba pernah ajar,” tulis seorang pengguna.

Bagi Sari, kejadian berkenaan bukan sahaja menguji ketenangan mereka sekeluarga, malah menjadi peringatan bahawa tindakan yang tepat amat penting ketika berlaku kecemasan di rumah.

Perkongsian itu turut mendapat respons positif kerana membuka mata orang ramai mengenai risiko yang mungkin berlaku akibat kebocoran gas, terutama jika tersalah mengendalikan peralatan elektrik ketika keadaan tersebut.