10 jam rakam lagu hingga berpindah studio, Aina Abdul dedah pengorbanan demi Eurovision Asia – ‘Saya anggap diri atlet suara Malaysia’

Iklan

MEMBAWA nama Malaysia ke pentas antarabangsa bukan sekadar soal vokal yang mantap, sebaliknya menuntut pengorbanan, disiplin dan kesungguhan untuk memberikan persembahan terbaik.

Bagi penyanyi dan komposer, Aina Abdul, tanggungjawab itu diterjemahkan menerusi lagu Bluest Sky yang bakal dipertaruhkan dalam pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision Asia di Bangkok, Thailand, pada 14 November ini.

Iklan
Iklan

Di sebalik melodi yang kedengaran indah, karya berkenaan menyimpan cabaran tersendiri sehingga pelantun lagu Sadis itu menghabiskan masa kira-kira 10 jam untuk merakamkan vokal, jauh lebih lama berbanding kebiasaannya.

Pemilik nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani, mengakui proses menulis lagu itu tidak sesukar ketika merakamkannya kerana dia perlu menyampaikan emosi yang tepat agar setiap bait terasa dekat dengan pendengar.

Iklan

“Ketika menulis, saya ada satu perasaan yang terbuku di hati. Tetapi semasa merakam, ia melibatkan emosi yang berbeza kerana saya perlu menjiwai watak itu,” katanya.

Iklan

Menurut Aina, dia lazimnya mampu menyelesaikan rakaman sesebuah lagu dalam tempoh sekitar dua jam. Namun, lagu berkenaan menuntut lebih banyak masa dan usaha sehingga dia mengambil keputusan berpindah studio dari Seremban ke Kuala Lumpur demi mendapatkan bunyi yang benar-benar sesuai.

“Lagu ini ‘besar’ dan tiada ruang rehat. Untuk Eurovision, durasinya mestilah tepat tiga minit. Jadi, cabarannya adalah untuk mencurahkan segala emosi marah, cinta dan sedih dalam tempoh tiga minit itu,” ujarnya.

Anggap diri atlet suara Malaysia

Cabaran Aina bukan hanya terhenti di studio. Selepas selesai menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL), dia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan Eurovision Asia selama kira-kira sebulan, termasuk berjaga malam memikirkan tanggungjawab yang bakal digalas.

Mengakui dirinya berdebar seperti ketika pertama kali menyertai AJL, Aina tetap berasa teruja kerana berpeluang mewakili negara dalam pertandingan berprestij itu.

Malah, dia menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu tanggungjawab besar dan mengibaratkannya seperti Olimpik buat dirinya.

“Saya anggap diri ibarat atlet suara dalam olimpik untuk mewakili Malaysia.

“Saya sangat berharap lagu ini mendapat tempat di hati anda. Saya berdoa kepada anda semua, mungkin ada antara doa yang akan diangkat pada 14 November nanti. Semoga ada yang manis untuk Malaysia dan Aina Abdul,” titipnya lagi.

Aina turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya, sambil mengakui Malaysia mempunyai ramai penggiat seni berbakat yang juga layak membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Pada 14 November ini, Aina bakal berentap di Bangkok dengan membawa harapan untuk mencipta pencapaian membanggakan menerusi Bluest Sky.

Antara negara yang bakal memberikan saingan termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.