Bila penyokong Arsenal jatuh cinta dengan peminat Chelsea, Kamal Adli dan Intan Serah pertama kali bergandingan

Iklan

PERTEMBUNGAN cinta dan kesetiaan terhadap kelab bola sepak menjadi taruhan dalam drama romantik komedi terbaharu, PL, I Love You arahan Michael Ang.

Mengangkat kisah cinta yang dibayangi persaingan penyokong bola sepak, drama lapan episod itu mengetengahkan hubungan Lily (Intan), seorang peguam dan penyokong tegar Arsenal, dengan Adam (Kamal), pemilik bengkel kereta yang setia menyokong Chelsea.

Iklan
Iklan

Lily mempunyai impian untuk berkahwin dengan lelaki yang menyokong kelab bola sepak sama seperti dirinya, selari dengan harapan arwah bapanya. Namun, Adam bukan sahaja menyokong pasukan berbeza, malah mempunyai sebab tersendiri untuk membenci Arsenal.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Adam mengalami amnesia selepas tergelincir dan terjatuh. Situasi itu membuka ruang kepada Lily untuk mempengaruhi lelaki berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan tentang cinta, pilihan dan penerimaan dalam sesebuah hubungan.

Iklan

Bagi Intan, hubungan yang baik bukan tentang membentuk pasangan mengikut kehendak sendiri, sebaliknya belajar menghormati perbezaan dan menerima kekurangan masing-masing.

Iklan

“Pada saya perkara yang penting, meski berbeza pendapat kita tetap hormat dan sayang antara satu sama lain.

“Kerana saya percaya sebagai orang yang hidup berpasangan, secara tidak langsung kita memang akan mempengaruhi pasangan kita.

“Tapi apa yang lebih penting daripada sibuk mengubah pasangan adalah saling melengkapi, menerima seadanya lalu bertumbuh bersama selagi ia tidak memudaratkan,” katanya.

Pandangan itu turut menjadi antara perkara menarik di sebalik kisah Lily dan Adam yang perlu mencari titik persamaan meskipun masing-masing mempunyai kecenderungan berbeza.

Selain kisah cinta, drama ini turut menampilkan Zara, watak yang dibawakan Hawa Rizwana. Sebagai anak yatim piatu yang mempunyai masalah penglihatan, Hawa perlu memastikan setiap pergerakan dan reaksinya kelihatan semula jadi di hadapan kamera.

Antara cabaran yang dihadapinya ialah ketika melakonkan babak menonton perlawanan Arsenal, yang memerlukan dirinya mengawal pergerakan mata agar bersesuaian dengan watak.

“Salah satu cabaran yang perlu membuat saya kekal konsisten dengan watak cacat penglihatan adalah babak saya menonton perlawanan Arsenal.

“Namun dalam masa yang sama saya perlu menjaga ‘mata’ supaya semuanya kelihatan nyata,” katanya.

Bagi membiasakan diri dengan pergerakan watak, Hawa turut berlatih berjalan menggunakan tongkat sambil memejamkan mata sebelum penggambaran bermula.

Sementara itu, Theebaan G yang memainkan watak Rama mengakui pengalaman menjalani penggambaran di London memberinya perspektif berbeza tentang pengaruh bola sepak dalam kehidupan masyarakat.

Pelakon berusia 36 tahun itu berkata, dirinya bukan peminat tegar Liga Perdana Inggeris sebelum menyertai produksi berkenaan.

“Ya, saya memang bukan peminat bola sepak. Namun selepas menjalani penggambaran di London, ia telah memberi saya perspektif baharu mengapa bola sepak menjadi hal yang sangat penting kepada penggemarnya.

“Sekarang saya juga faham bagaimana bola sepak boleh berkembang dalam masyarakat, dalam negeri atau negara dan seterusnya menjadi sukan yang penting di dunia,” ujarnya.

Evertts Gomes yang memegang watak Jason pula melihat PL, I Love You sebagai gabungan kisah cinta sesama manusia dengan minat mendalam terhadap bola sepak.

Drama itu turut menampilkan Nina Jasmin sebagai Sofea dan Sean Lee sebagai Rayyan Danish. Penonton juga boleh menantikan kemunculan istimewa pemain daripada kelab Liga Perdana Inggeris, seperti yang dikongsikan Evertts.

Drama lapan episod itu mula ditayangkan pada 30 September lalu, setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di Astro Ria serta menerusi Sooka.