KEHIDUPAN yang kelihatan sempurna di mata orang lain tidak semestinya menggambarkan apa yang tersimpan di sebalik senyuman seseorang. Ada kekosongan yang sukar dijelaskan, apatah lagi apabila membesar tanpa tempat bergantung untuk berkongsi cerita dan meluahkan perasaan.
Pengalaman itu turut dilalui pelakon, pengacara dan penyanyi Azeva yang mengakui ketiadaan figura seorang ayah banyak mempengaruhi perjalanan hidupnya sejak kecil.
Menerusi siaran di podcast Confession Bilik Gelap baru-baru ini, Azeva berkongsi perasaan yang sekian lama dipendam, termasuk pengalaman membandingkan kehidupannya dengan rakan sebaya yang mempunyai ibu bapa di sisi.
Katanya, ketika masih kecil, dia sukar memahami mengapa kehidupannya berbeza daripada orang lain. Namun, seiring peningkatan usia, dia mula menerima hakikat bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup tersendiri.
“Tapi lama-lama lepas dah masuk sekolah menengah, saya fahamlah macam tak semua orang hidup dia sama,” kongsinya dalam keadaan sebak.
Menurut anak kepada penyanyi terkenal, Datuk Ameng Spring itu, orang luar mungkin melihat kehidupannya sebagai mudah kerana dia sering mendapat perkara yang diinginkan.
Hakikatnya, pandangan sedemikian tidak menggambarkan kesukaran yang terpaksa dihadapinya sendirian, terutama ketika memerlukan sokongan emosi daripada ibu bapa.
“Mak ayah tak ada, tempat luahan saya tak ada. Saya tak ada seorang lelaki dalam hidup saya. Ayah saya pun dia tak ada,” ujarnya.
Tidak semua kesedihan terlihat di mata
anak kepada penerbit terkenal, Datuk A Aida itu turut berkongsi bahawa dia memilih untuk berdiam diri apabila ada pihak menganggap dirinya bertuah kerana memiliki kehidupan yang serba cukup.
Bagi dirinya, apa yang dilihat orang luar tidak semestinya mencerminkan keseluruhan pengalaman seseorang. Kemewahan atau kemudahan yang dinikmati juga tidak semestinya dapat menggantikan keperluan terhadap kasih sayang dan kehadiran keluarga.
“Saya diam saja bila orang kata saya macam… mereka kata saya ini tak adil, Tuhan bagi semua. Tapi ada orang nampak, ada orang tak nampak,” katanya.
Bagaimanapun, hubungan Azeva dengan bapanya mula menunjukkan perubahan positif selepas mereka menyertai program Talk To My Manager.
Pelakon filem Bisikan Nafsu tersebut turut menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai titik perubahan apabila bapanya mula menunjukkan perhatian dengan lebih konsisten, termasuk bertanya tentang perkembangan dan keadaannya hampir setiap hari.
“Berhubung, tapi selalunya macam tiga bulan sekali, dulu kan. Tapi lepas Talk To My Manager itu hampir setiap hari dia tanya perkembangan, macam mana, okey tak,” jelasnya.
Perubahan itu membawa makna besar buat Azeva yang selama ini merindukan kehadiran seorang ayah dalam kehidupannya.
“Jadi saya rasa macam baru rasa ada seorang ayah itu lepas dah 25 tahun,” katanya.
Pengalaman Azeva mengingatkan bahawa setiap orang mempunyai kisah tersendiri yang tidak semestinya dapat dinilai melalui apa yang terlihat di mata. Kadangkala, perhatian kecil dan kesediaan untuk hadir dalam kehidupan seseorang membawa makna yang jauh lebih besar daripada yang disangka.