'Crush adalah crush je'– Siti Khadijah jelaskan hubungan dengan Amir Ahnaf, percaya jodoh datang pada waktu tepat

Iklan

BAGI sesetengah orang, keserasian di hadapan kamera mungkin sekadar tuntutan lakonan. Namun, apabila dua pelakon sering bergandingan dan kelihatan serasi, tidak hairanlah penonton mula memasang harapan agar hubungan itu berlanjutan ke alam percintaan.

Situasi itu turut mengiringi pelakon Siti Khadijah Halim dan Amir Ahnaf yang sering menjadi perhatian peminat. Keserasian mereka bukan sahaja mengundang pujian, malah mencetuskan persoalan tentang kemungkinan hubungan tersebut berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Siti Khadijah memilih untuk bersikap terbuka tanpa memberikan harapan berlebihan kepada peminat yang gemar menjodohkan mereka.

Mengulas perkara itu, pelakon berkenaan menyifatkan tindakan peminat yang mengharapkan pasangan pelakon kegemaran mereka bercinta sebagai sesuatu yang lumrah dalam dunia hiburan.

Iklan

“Bukan zaman sekarang sahaja, zaman dahulu pun penonton dah biasa buat begitu.

“Itu adalah lumrah kerja saya. Apabila kita berpasangan dengan hero yang sama-sama bujang, peminat akan kenen,” katanya.

Iklan

Mengulas hubungannya dengan Amir, Siti Khadijah menjelaskan mereka sekadar berkawan dan tidak mahu membuat sebarang andaian tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

“Kalau ada rezeki, adalah. Crush adalah crush sahaja. Tak bermaksud apa-apa yang serius,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon itu tidak menolak kemungkinan bahawa persahabatan yang terjalin boleh berkembang mengikut ketentuan Tuhan.

Baginya, manusia boleh merancang pelbagai perkara, namun soal hati dan jodoh bukan sesuatu yang mampu ditentukan sepenuhnya oleh diri sendiri.

“Kita pun tak tahu. Saya juga tak nak bercakap lebih, kalau suatu hari nanti apa yang saya cakap ini berpusing. Sebab yang memegang hati kita ialah ALLAH,” katanya.

Selesa dengan aturan hidup sendiri

Dalam soal percintaan, juara Gadis Panca NR 2017 tidak menafikan perasaan sunyi sesekali hadir, apatah lagi apabila usianya sudah memasuki lingkungan 30-an.

Namun, keadaan itu tidak bermakna dia perlu tergesa-gesa mencari pasangan semata-mata untuk mengisi kekosongan dalam kehidupan.

Sebaliknya, pelakon itu lebih selesa memberikan tumpuan kepada kerjaya dan menghargai hubungan persahabatan yang dimilikinya.

“Saya percaya orang yang tepat akan datang pada waktu yang tepat,” katanya.

Siti Khadijah turut mengakui dirinya kadangkala berasa sunyi, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal jodoh.

“Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tak apa,” ujarnya.

Sisi berbeza bersama Amir

Selain persoalan mengenai hubungan mereka, perhatian peminat turut tertumpu kepada perubahan personaliti Siti Khadijah yang dikatakan kelihatan lebih feminin atau girly apabila berada di sisi Amir.

Mengulas pemerhatian tersebut, pelakon itu berpendapat perbezaan personaliti antara mereka mungkin menjadi faktor yang membuatkan sisi berkenaan lebih terserlah.

“Saya sendiri agak dominan juga, tetapi apabila bersama dia, nampak perbezaan itu. Lagipun, dia selalu ada bersama, sebab itu orang sering nampak kami berdua,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, anak bongsu daripada empat beradik itu turut berkongsi pandangan mengenai pengalaman berdepan tanggapan orang lain yang kadangkala membuatkan dirinya berasa kurang disenangi.

Mengakui perkara itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan emosi, pelakon berkenaan bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan orang terhadap dirinya.

Malah, dia turut bermuhasabah dan mengakui kemungkinan dirinya mempunyai kekurangan, termasuk dari segi cara bergaul dengan orang lain.

“Mungkin wajah saya tidak mengundang orang untuk datang dan bercakap dengan saya,” katanya.

Bagi Siti Khadijah, setiap orang mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing. Justeru, dia memilih untuk menerima hakikat bahawa tidak semua orang akan menyukainya.

Perkara itu juga mendorongnya berkongsi pengalaman sendiri sebagai suntikan semangat kepada individu lain yang berdepan situasi serupa agar tidak mudah berputus asa.

“Kalau saya boleh hadapi dan bertahan hingga ke tahap sekarang, awak pun boleh juga. Kita boleh sama-sama berjaya walau apa pun yang berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan butik fizikal pertama jenama NADA di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.a