KEJAYAAN tidak semestinya bermula dengan modal besar. Ada kalanya, impian dibina daripada minat yang sederhana sebelum diuji dengan kegagalan yang memaksa seseorang memilih sama ada mahu menyerah atau mencuba sekali lagi.
Perjalanan pengasas jenama pakaian aktif NADA, Nurin Afiqah Zulkifli, membuktikan bahawa membina perniagaan bukan sekadar soal mengembangkan jenama, tetapi juga keberanian untuk bangkit ketika segala-galanya seakan-akan musnah.
Bermula dengan modal sekitar RM1,000 ketika mengajar Zumba, mesra disapa Nurin, Wanita itu membina perniagaannya sedikit demi sedikit. Namun, perjalanan tersebut tidak sentiasa mudah.
Pada 2024, dia berdepan detik paling sukar apabila perniagaannya mengalami kerugian besar, stok tidak terjual dan hutang hampir RM1 juta menanti untuk diselesaikan.
"Pada tahun 2024, kami kehilangan banyak perkara. Saya ada hutang hampir RM1 juta. Stok tidak bergerak, tidak terjual dan semua orang meninggalkan kami," katanya kepada SinarPlus.
Ketika ramai mula menjauhkan diri, Nurin hanya mempunyai suami dan adiknya untuk bersama-sama mengharungi kesukaran tersebut. Dalam keadaan yang serba tidak menentu, dia sedar bahawa meratapi nasib tidak akan mengubah keadaan.
"Tinggallah saya, suami dan adik saya. Tetapi saya bangkit semula dengan prinsip jangan menangis lama-lama," ujarnya.
Berpegang pada prinsip itu, Nurin dan suami mula menilai semula kesilapan, mengurus wang yang masih ada dengan lebih berhati-hati serta memahami perkara yang benar-benar diperlukan pelanggan.
Usaha membina semula perniagaan dilakukan secara berperingkat, tanpa mengulangi kesilapan lalu. Hasilnya, NADA terus berkembang sehingga berjaya membuka kedai fizikal pertamanya di KL East Mall baru-baru ini, satu pencapaian bermakna selepas melalui fasa kejatuhan.
Pengalaman dibuli cetus inspirasi
Di sebalik perjalanan keusahawanan itu, terdapat pengalaman peribadi yang turut membentuk cara Nurin melihat keyakinan diri wanita.
Ketika di bangku sekolah, dia pernah menjadi sasaran ejekan rakan sebaya kerana bentuk tubuhnya. Pengalaman itu membuatkannya mencari pakaian yang mampu memberikan rasa selamat, termasuk jaket windbreaker yang menjadi pilihannya.
"Sebab itulah saya memakai jaket windbreaker. Pakaian itu menutup bentuk tubuh dan membuatkan saya rasa lebih selamat," jelasnya.
Ejekan berkenaan bukan pengalaman singkat kerana berlarutan sejak sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke universiti. Namun, Nurin memilih untuk tidak membiarkan pengalaman tersebut terus membataskan dirinya.
Dia menjelaskan bahawa pengalaman itu tidak menyebabkan dirinya mengalami kemurungan. Sebaliknya, dia cuba menukarkan perkara negatif yang berlaku kepada dorongan untuk membina keyakinan diri.
"Saya jenis yang apabila orang buat sesuatu kepada saya, saya suka mengubahnya menjadi sesuatu yang baik. Daripada mencari alasan, saya mencari jalan untuk membuatkan diri lebih yakin," katanya.
Pengalaman tersebut turut mempengaruhi pendekatannya dalam membangunkan NADA, khususnya dalam memahami keperluan wanita yang mahu bersukan dengan selesa dan berasa yakin dengan diri sendiri.
Bina jenama melalui pengalaman sendiri
Bagi Nurin, memahami keperluan pelanggan memerlukan lebih daripada sekadar pemerhatian. Sebagai individu yang turut menjalani gaya hidup aktif, dia percaya pengalaman sendiri dapat memberikan perspektif lebih dekat tentang apa yang diperlukan ketika bersukan.
Baru-baru ini, NADA membawa lima pasukan menyertai HYROX Bangkok, dengan Nurin sendiri turut mengambil bahagian. Pengalaman itu memberinya gambaran lebih jelas tentang keperluan wanita ketika melakukan aktiviti kecergasan, selari dengan usaha menghasilkan pakaian aktif yang mengutamakan fungsi dan keselesaan.
Buat wanita yang masih ragu-ragu untuk mencuba sesuatu kerana takut gagal, Nurin berpesan agar mereka tidak terlalu dibelenggu kebimbangan terhadap hasil yang belum pasti.
"Kalau buat sesuatu kerana mahu belajar, mulakan dahulu. Kemudian, kita akan belajar sepanjang perjalanan," katanya.
Bagi Nurin, langkah pertama mungkin tidak menjanjikan kejayaan serta-merta. Namun, keberanian untuk mencuba dan kesediaan belajar daripada kesilapan membuka ruang untuk seseorang bangkit, memperbaiki diri dan membina sesuatu yang lebih baik.a