MEMASUKI usia 47 tahun membuatkan penyanyi, komposer dan pelakon Mark Adam semakin menghargai perkara sederhana dalam kehidupan. Kesihatan yang baik, keluarga yang bahagia dan hubungan suami isteri yang kekal utuh menjadi antara rezeki paling berharga buat dirinya, meskipun ada impian yang masih belum menjadi kenyataan.
Bagi pemilik nama sebenar Fikri Adam Mark Abdullah itu, kebahagiaan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang diharapkan. Ada kalanya, ia hadir melalui insan yang rapat di sisi, termasuk seorang kanak-kanak lelaki bernama Akira yang kini dianggap seperti anak sendiri.
Mark berkongsi perkara itu ketika ditemui SinarPlus pada acara Paws N’ Drive anjuran OMODA | JAECOO Malaysia bersama platform komuniti haiwan peliharaan, The Paws Collective (TPC), di CARFE, Petaling Jaya.
Pada masa sama, Mark berharap keluarganya sentiasa berada dalam keadaan baik, perniagaan berjalan lancar dan kerjaya seninya terus berkembang. Namun, kesihatan tetap menjadi keutamaan yang tidak mahu diabaikan.
“Paling penting, kesihatan. Jaga kesihatan kita. Saya setiap hari, kalau tak ada apa-apa, saya akan berjoging dan bersenam. Itu sangat penting.
“Muzik saya dan apa-apa kerjaya yang saya ada, saya sentiasa berdoa untuk baik-baik,” katanya.
Rutin bersenam itu menjadi antara usahanya untuk memastikan tubuh kekal cergas, sekali gus membolehkannya meneruskan pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan dan kerjaya.
Akira ibarat anak
Kehadiran Akira yang sering dibawa Mark ke pelbagai majlis turut menarik perhatian. Bagi penyanyi itu, hubungan mereka bukan sekadar kenalan biasa, sebaliknya kanak-kanak itu sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Akira dia macam anak saya. Ayah dia orang Jepun. Mak dia orang Terengganu. Dia campuran Jepun dengan Melayu,” ujarnya.
Keakraban itu turut mengundang persoalan adakah Mark dan isteri, Norazah Redzuan yang sudah 23 tahun melayari bahtera rumah tangga tidak memikirkan soal mengambil anak angkat, memandangkan mereka masih belum dikurniakan cahaya mata sendiri.
Mengakui perkara itu pernah dibincangkan, Mark bagaimanapun memilih untuk menyerahkan soal zuriat kepada ketentuan Tuhan. Baginya, mereka tidak perlu membebankan diri dengan sesuatu yang berada di luar kawalan.
“Kalau nak tanya, ada tak nak ambil anak angkat? Sudah pernah. Tapi panjang cerita dia. Sekarang ini, kita tunggu rezeki macam mana.
“Ada atau tidak, DIA yang kena bagi anak. Kalau tidak, it's okay. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tak ada, kita tunggu,” katanya.
Bagi Mark, ketiadaan zuriat tidak bermakna kehidupan mereka kurang lengkap. Dia dan isteri tetap mempunyai ruang untuk mencurahkan kasih sayang, termasuk kepada kanak-kanak yang belajar di sekolah muzik miliknya, Suara Akademi.
“Kalau bercerita tentang anak angkat atau anak dekat sekolah muzik saya, ada banyak budak yang kecil. Itu semua diibaratkan anak-anak saya dan juga isteri.
“Akira adalah anak saya. Kucing-kucing saya adalah anak saya. Siapa yang dekat dengan kita, kawan-kawan, semua anak saya,” jelasnya.
Enggan soal zuriat jejaskan rumah tangga
Walaupun mengakui dia dan isteri masih belum dikurniakan anak, Mark menegaskan bahawa mereka tidak mahu perkara itu menjadi sumber tekanan dalam rumah tangga.
Sebaliknya, pasangan itu memilih untuk menghargai apa yang dimiliki dan terus menjaga hubungan yang dibina bersama. Baginya, kehadiran anak bukan alasan untuk menentukan kuat atau rapuhnya sesebuah perkahwinan.
“Bagi saya, saya sudah pernah cakap sebelum ini dengan isteri dan juga diri sendiri, tak boleh distreskan. Saya dan isteri, kita memang belum ada anak lagi. Tapi kita tak streskan diri pasal itu,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa apa pun yang berlaku dalam kehidupan, komitmen terhadap pasangan tetap menjadi perkara utama.
“Yang paling penting, apa yang kita ada, apa yang Tuhan beri dekat kita, janji kita tak meninggalkan masing-masing, mencintai masing-masing walaupun kita masih berumur.
“Benda itu tak akan menghancurkan perasaan kita masing-masing,” ujarnya.
Paws N’ Drive, gaya hidup mesra haiwan peliharaan
Kecintaan Mark terhadap haiwan turut selari dengan konsep acara Paws N’ Drive yang berlangsung selama dua hari itu. Program berkenaan menampilkan pengalaman pandu uji kenderaan yang direka untuk memenuhi keperluan isi rumah pemilik haiwan peliharaan yang semakin berkembang di Malaysia.
Menerusi acara itu, pengunjung berpeluang melihat bagaimana reka bentuk ruang kenderaan dan ciri praktikal boleh memenuhi keperluan pemilik haiwan, termasuk aspek bahan dalaman yang mudah dibersihkan serta pengudaraan ketika kenderaan berhenti.
Menerusi model JAECOO J5 EV , aspek mesra haiwan diketengahkan melalui kemasan tempat duduk yang tahan calar, antibakteria dan tidak mudah memerangkap bulu.
Sementara ciri Pet Mode pula direka untuk membantu mengekalkan suhu kabin yang selesa ketika kenderaan diparkir. Bagaimanapun, pemilik tetap perlu mengutamakan keselamatan haiwan dan tidak meninggalkannya tanpa pengawasan.
Acara selama dua hari yang menggabungkan aktiviti santai itu turut dimeriahkan dengan bar snek khas dan cenderamata yang disediakan buat pengunjung yang hadir.