KASIH seorang ibu sememangnya tiada tolok banding. Biarpun fizikal diuji dengan masalah kesihatan, pelakon popular Nur Fazura tetap melupakan rasa lelah demi memastikan hari bahagia permata hatinya, Nur Fatima Aisya diraikan dengan gembira.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pelakon anggun itu berkongsi momen indah ulang tahun kelahiran Fatima yang kini genap berusia enam tahun.
Biarpun diraikan secara sederhana, raut wajah si cilik itu jelas gembira apabila dikelilingi rakan sekolah, guru-guru serta insan tersayang sewaktu menerima kejutan istimewa di kediaman mereka.
"sebahagian kenangan sambutan hari lahir ke-6 Fatima yang penuh bermakna bersama rakan-rakan dan guru di sekolah, diikuti kejutan mesra daripada Papa Faiz tersayang, Mama @nor.asmah serta sepupu-sepupu tercinta di rumah mereka," tulis Fazura.
Pada masa sama, pelakon Hero Seorang Cinderella itu secara terbuka memohon maaf kepada anak perempuannya kerana tidak dapat berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sepanjang majlis berlangsung.
"Sorry that mommy was sick sayang.. but rest assured you are beyonddd loved by your family, friends also your aunties and uncles online everywhere.. Masya- ALLAH TabarakAllah.. Alhamdulillah," ungkapnya lagi.
Namun baginya, rasa syukur tetap mengatasi segalanya apabila melihat si kecil itu disayangi ramai, tidak kira daripada keluarga terdekat mahupun 'mak cik dan pak cik online' yang sentiasa mendoakan dari jauh.
Bukan itu sahaja, usahawan hijab berkenaan turut menitipkan pesanan bermakna agar anak kesayangannya itu sentiasa membesar menjadi insan yang berhati mulia, sentiasa bersyukur dan tidak kekok menyebar kebaikan.
"tlSentiasa bersyukur, comel dan baik hati ya anak mommy. Mommy sayang sangat dekat kamu melebihi apa yang kamu bayangkan. Permata hati mommy, Nur Fatima Aisya," titipnya penuh makna.
Sikap penyayang dan ketabahan Fazura membesarkan Fatima nyata menyentuh hati netizen yang tidak putus-putus membanjiri ruang komen dengan bait doa yang indah.
Sekadar info, Fatima yang dilahirkan pada 2 Oktober 2020 merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Fazura bersama aktor Fattah Amin pada November 2017, sebelum masing-masing membawa haluan berbeza pada Oktober 2024.