HUBUNGAN adik-beradik yang akrab bukan sekadar terserlah ketika berkumpul bersama keluarga, malah boleh menjadi ruang untuk saling menyokong dan membuka peluang dalam kerjaya. Bagi pelakon Fasha Sandha, kepercayaan terhadap kebolehan adiknya, Elisya Sandha, menjadi alasan untuk mengajaknya bersama-sama mewarnai perjalanan sebuah jenama yang dekat dengan keluarga Malaysia.
Bagi Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, perkongsian rezeki bukan sesuatu yang perlu berkira-kira. Sebaliknya, peluang yang dimiliki boleh menjadi lebih bermakna apabila dapat dikongsi dengan insan tersayang.
Atas dasar itu, pelakon berkenaan memilih Elisya sebagai rakan jenama Gardenia NuMee, sekali gus membawa nafas baharu kepada kerjasama yang diteruskannya sebagai duta jenama itu untuk tahun keempat.
"Saya selalu percaya kita harus berkongsi rezeki. Selain itu, saya percaya dengan kebolehan Elisya memasak. Saya juga mahu memberikan nafas baharu dan mewarnai jenama ini dengan kehadiran Gen Z," katanya.
Menurut Fasha, penglibatan adiknya bukan sekadar menambah wajah baharu kepada jenama berkenaan, tetapi turut membuka ruang untuk mendekati kelompok pengguna yang lebih muda.
Jika selama ini produk tersebut dekat dengan golongan ibu dan keluarga, kehadiran Elisya diharap dapat meluaskan daya tarikannya kepada generasi muda yang mempunyai gaya hidup serta minat tersendiri.
"Jenama ini bukan hanya untuk ibu-ibu yang mempunyai ramai anak seperti saya. Golongan Gen Z yang muda-muda pun akan menggunakan produk ini," ujarnya lagi.
Di sebalik kerjasama profesional itu, hubungan rapat kedua-dua beradik tersebut turut menjadi cerita tersendiri.
Fasha mengakui mereka sudah lama mempunyai ikatan yang kuat, justeru isu mengenai kononnya berlaku pertelingkahan antara mereka baru-baru ini sukar dipercayai oleh orang yang mengenali hubungan berkenaan.
"Kami tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Itu yang penting," katanya.
Bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, Fasha juga berbangga dengan perkembangan kerjaya Elisya yang semakin menyerlah dalam industri seni.
Sebagai kakak, dia turut mengikuti perkembangan adiknya menerusi maklum balas yang diterima daripada pihak produksi, termasuk sikap profesional ketika berada di lokasi penggambaran.
Komitmen terhadap pekerjaan
Fasha berkongsi, Elisya pernah ditegur mengenai ketepatan masa ketika baru memulakan kerjaya selepas tamat persekolahan.
Namun, teguran itu dijadikan pengajaran sehingga adiknya semakin berdisiplin dan menjaga komitmen terhadap pekerjaan.
"Saya selalu mendapat maklum balas yang baik tentang dia. Dia juga selalu mengulang kaji skrip ketika berada di lokasi penggambaran. Jadi, saya yakin dengan kebolehan yang ada pada dirinya," jelasnya.
Sementara itu, Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Sandha Hassan, menyifatkan peluang menyertai Gardenia NuMee sebagai sesuatu yang tidak dijangka, apatah lagi apabila dia sendiri meminati aktiviti memasak.
"Saya sangat gembira apabila kakak menawarkan peluang ini kepada saya. Saya terkejut dan tertanya-tanya, adakah mereka mahukan saya? Memang saya suka dan selalu memasak," katanya.
Elisya turut menyambut baik pendekatan yang menggabungkan generasi milenial dan Gen Z menerusi kerjasama tersebut. Baginya, peluang itu memberikan pengalaman baharu untuk bersama-sama mengembangkan jenama yang sudah dikenali ramai.
"Kami akan terus berkembang menerusi kolaborasi ini dan melakukan yang terbaik," ujarnya lagi.
Menurut Eksekutif Pemasaran Gardenia NuMee, Ida Nadiana Buang, kesinambungan kerjasama dengan Fasha mencerminkan keserasian pelakon itu dengan identiti jenama, khususnya dalam mengetengahkan nilai kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan pengguna.
Penglibatan Elisya pula membawa dimensi baharu dalam usaha mendekati generasi muda melalui kandungan yang lebih relevan dengan gaya hidup dan minat mereka.
Gabungan dua beradik itu bukan sahaja memperlihatkan sokongan dalam hubungan kekeluargaan, malah mencerminkan usaha jenama berkenaan untuk merapatkan jurang antara generasi menerusi cita rasa dan pengalaman yang dikongsi bersama.