Norman Hakim kongsi persiapan perkahwinan Danish, mahu Memey terus kuat selepas kehilangan ibu – ‘Dia sangat fragile sejak mak meninggal’

Iklan

DI sebalik keterujaan menanti hari bahagia anak sulung, terselit juga tanggungjawab dan emosi yang perlu dijaga. Pelakon Norman Hakim bukan sahaja sibuk menguruskan persiapan perkahwinan Danish Hakim, malah turut memastikan isteri dan anak-anak perempuannya bersama-sama melalui detik istimewa itu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Norman memaklumkan perancangan majlis perkahwinan putera sulungnya itu kini sudah memasuki fasa ketiga daripada lima fasa yang dirancang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majlis bagi pihak keluarganya di Kuala Lumpur akan diadakan secara sederhana dengan jemputan khusus merangkumi ahli keluarga sebelah ibu dan arwah bapanya, keluarga besar Normey serta anak-anak yatim dan tahfiz di bawah jagaannya.

Iklan

Turut menerima jemputan ialah rakan seperjuangan dalam perniagaan, sahabat serta wakil agensi kerajaan dan swasta yang banyak membantu perjalanan hidupnya selama ini.

Menariknya, pengalaman menguruskan persiapan perkahwinan anak sulung itu menjadi pengalaman pertama buat Norman bergandingan secara langsung dengan Danish dalam mengendalikan urusan menuju hari bahagia berkenaan.

Iklan

"Selain daripada appointed wedding planner, untuk fasa tiga ini saya minta mummy dan anak-anak perempuan sama-sama terlibat dan beri sokongan," tulisnya.

Bagaimanapun, di sebalik kesibukan menyusun perjalanan majlis, pemilik nama sebenar, Mohamed Nurhakim Zaidon turut berkongsi sisi lebih peribadi mengenai keadaan isterinya yang masih berusaha menerima kehilangan insan tersayang.

Jelasnya, dia sengaja memberikan lebih banyak ruang kepada isteri dan anak-anak perempuan untuk terlibat dalam persiapan berkenaan agar mereka mempunyai aktiviti bersama sepanjang tempoh tersebut.

Malah, Norman tidak berselindung bahawa isterinya masih melalui fasa emosi yang rapuh sejak pemergian ibunya.

"Insya-Allah, it will take some time for her to heal," luahnya.

Perkongsian itu memperlihatkan bagaimana persiapan sebuah majlis keluarga bukan sekadar tentang menyusun senarai tetamu, memilih lokasi atau memastikan setiap acara berjalan lancar, sebaliknya turut melibatkan sokongan emosi antara satu sama lain.

Bagi suami kesayangan Memey Suhaiza, apa jua ujian yang hadir, kehidupan dan perjuangan tetap perlu diteruskan dengan usaha, bersangka baik terhadap ketentuan ALLAH SWT serta bertawakal kepada-NYA.

Dia turut berharap segala urusan menjelang hari bahagia Danish dipermudahkan, diberkati dan menjadi kenangan indah buat seluruh ahli keluarga.

Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi positif warga maya yang rata-ratanya menitipkan doa agar segala perancangan berjalan lancar.

Ada juga yang menyifatkan kebersamaan keluarga berkenaan sebagai sesuatu yang menyenangkan untuk dilihat, apatah lagi apabila setiap ahli keluarga saling memberikan sokongan dalam momen penting kehidupan.

"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan, melapangkan setiap kesulitan, melancarkan setiap langkah dan mengurniakan jalan keluar yang terbaik. Aamiin Ya Rabbal Alamin," tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi warga maya turut mendoakan Norman sekeluarga agar sentiasa diberikan kekuatan, ketenangan dan rezeki yang melimpah.

Jelas, menjelang hari bahagia seorang anak, kebahagiaan ibu bapa bukan hanya terletak pada kelancaran majlis, tetapi juga melihat seluruh keluarga dapat melalui detik istimewa itu bersama-sama dalam suasana penuh kasih sayang.