PELAWAK Amir Raja Lawak, 37, kini dilaporkan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami jangkitan paru-paru.
Perkembangan itu dikongsikan pelakon dan rakan seperjuangannya, Lando Zawawi menerusi laman sosial Facebook.
Menurut Lando, dia mendapat keizinan daripada ibu Amir, Puan Nizan untuk memohon orang ramai, khususnya sanak saudara dan kenalan, mendoakan kesihatan pelawak berkenaan.
"Saya baru saja mendapat keizinan daripada ibu Amir, Puan Nizan untuk memohon sanak saudara dan rakan-rakan yang mengenali saudara kita Mohammad Amirullah bin Azmi.
"Untuk sama-sama mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali sihat. Kini beliau sedang menunggu giliran di ICU untuk proses seterusnya. Maaf tak sanggup cakap," kongsinya.
Dalam hantaran sama, Lando turut memaklumkan Amir mengalami jangkitan paru-paru selain mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.
"Tapi basically beliau kena jangkitan paru-paru. Asma memang dari kecil. Semoga ALLAH masih beri peluang kita bersamanya.
"Sekadar peringatan buat pihak yang masih berhutang pada dia. Eloklah selesaikan atau mohon maaf pada dia. Amin," titipnya.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, pelawak Sabri Yunus turut berkongsi perkembangan mengenai keadaan Amir yang didakwa kini sedang ditidurkan susulan masalah paru-paru.
"Baru dapat berita dan sekeping gambar Amir Raja Lawak sedang diuji di ICU Hospital Kota Bharu. Katanya Amir ditidurkan akibat ada masalah paru-parunya.
"Saya tak akan poskan gambar itu. Mohon saudara-saudara doa untuk Amir," kongsinya.
Perkongsian berkenaan mengundang perhatian warganet yang rata-ratanya menitipkan doa agar pelawak yang turut dikenali sebagai Amir Amireka itu diberikan kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala.
Sekadar info, Amir memulakan langkah dalam industri hiburan sebagai peserta solo pada tahun 2009 menerusi Raja Lawak Astro Musim Ketiga.
Pernah bertanding secara solo dan kumpulan di pentas Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega, Amir pernah membintangi beberapa buah filem termasuk Adnan Sempit 3, Hantu Bonceng 2.0 dan Geng Jin.