BINTANG terkenal Hollywood, The Rock atau nama sebenarnya Dwayne Johnson dan keluarganya baru-baru ini telah disahkan positif Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas ahli World Wrestling Federation (WWF) itu dalam satu video berdurasi 11 minit yang dimuat naik melalui laman Instagram rasmi miliknya pada Rabu.
Menurut The Rock, dia bersama isteri dan dua anak perempuannya dijangkiti Covid-19 dua atau tiga minggu lalu daripada rakan keluarga terdekat yang tidak mengetahui mereka dijangkiti virus itu.
Johnson berkata, dua anak perempuannya Tianna and Jasmine masing-masing berusia dua dan empat tahun menghidap sakit tekak beberapa hari.
Pelakon itu turut menggesa pengikutnya mengamalkan disiplin apabila berkumpul di tempat awam, tingkatkan imun sistem dengan pemakanan diet seimbang.
Kini sesiapa sahaja yang akan bertandang ke rumahnya perlu melalui ujian untuk mengesahkan bebas daripada virus tersebut demi menjaga keselamatan masing-masing.
Aktor ini juga berpesan agar sentiasa memakai pelitup muka dan itu adalah tanggungjawab sebagai masyarakat dalam membendung menyebaran virus ini.