[VIDEO] Akibat ‘mandi susu’ dalam kilang susu dua individu dibuang kerja serta-merta

Iklan
Akibat ‘mandi susu’ dalam kilang susu dua individu dibuang k

AMALAN mandi susu dikatakan membantu membuang sel kulit mati, melembapkan dan mencerahkan kulit.

Kaedah ini sebenarnya sudah diamalkan sejak zaman pemerintahan kerajaan Mesir purba apabila permaisuri Cleopatra yang terkenal dengan kecantikan dan kebijaksanaannya menjadikan mandi susu sebagai rutin dalam rawatan kecantikan.

Iklan
Iklan

Oleh itu, kini ramai dalam kalangan orang ramai yang ingin mencuba kaedah rawatan itu tambahan pula kini spa dan pusat-pusat kecantikan juga ada menawarkan perkhidmatan tersebut.

Siapa tak nak cantik kulit mulus gebu kan?

Iklan

Namun, baru-baru ini lain pula kisahnya apabila satu video telah tular yang memaparkan seorang individu dilihat sedang mandi susu di kilang susu! Ternyata idea tersebut bukanlah satu idea yang bijak!

Akibatnya, kilang tenusu di Turki itu telah diarahkan tutup setelah tersebar video di media sosial yang memaparkan pekerjanya sedang mandi susu.

Iklan

Rakaman itu kini tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki tanpa pakaian sedang mandi di dalam satu tab berisi susu dan menggunakan jug air untuk menyiram kepalanya.

Menurut laporan, video tersebut dirakam di kilang susu di Anatolia Tengah dan lelaki yang berendam di dalam tong berisi susu itu dikenali sebagai Emre Sayar.

Videonya dimuat naik ke TikTok oleh seorang rakannya bernama Ugur Turgut. Kedua-dua lelaki itu juga telah ditangkap.

Rakaman tersebut yang tersebar di pelbagai platform media sosial pastinya telah menimbulkan kemarahan ramai terutama warga Turki.

Orang ramai juga dilihat bimbang dan risau susu yang tercemar itu akan diproses seperti biasa dan dijual ke pasaran umum.

Namun, dakwaan kilang susu tersebut pula menyatakan cecair putih yang dilihat seperti susu itu sebenarnya bukanlah susu sebaliknya ia hanyalah campuran air dan cecair pembersih.

Menurut jurucakap kilang itu lagi, dua individu yang merupakan pekerja kilang itu juga sudah dibuang dan ditamatkan kontrak dengan serta merta.

Mereka mendakwa bahawa video itu hanya bertujuan untuk mencemarkan nama baik syarikat dan menambah bahawa ‘cecair pembersih’ dalam video itu digunakan untuk mencuci dandang di kilang itu.

Namun apa juga alasan yang diberi, siasatan tetap dilancarkan terhadap syarikat terbabit sementara kilang itu juga ditutup selain didenda kerana didakwa beroperasi di bawah keadaan yang membahayakan kesihatan manusia.

Ingat, mandi susu itu bagus tapi mandi susu dalam kilang susu itu ‘kerja gila’ bang!