KISAH seorang kanak-kanak perempuan yang dilanggar dan digilis oleh sebuah lori di Acheh Selatan, Indonesia baru-baru ini cukup mengguris hati, lapor Indozone.
Masakan tidak, Haura Aulia yang berusia 11 tahun dilaporkan telah dilanggar dan digilis bapanya sendiri tanpa ada perasaan belas kasihan apatah lagi perikemanusian.
Insiden berdarah itu berlaku lewat petang pada 19 Disember lalu ketika Haura Aulia ternampak lori yang dipandu bapanya.
Kanak-kanak perempuan yang bersama ibunya yang ketika itu berada di tempat kejadian cuba menahan lori tersebut selepas terlihat ada seorang wanita berada di tempat duduk penumpang, namun tidak diendahkan bapanya.
Video yang dikongsi melalui media sosial cukup membuatkan ramai warganet terkejut kerana situasi itu jelas menampakkan kanak-kanak perempuan malang tersebut cuba menahan lori di sebatang jalan utama.
Walaupun rakaman berkenaan agak gelap mungkin disebabkan cuaca sudah hampir gelap, namun kejadian langgar dan gilis yang direkodkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai memang cukup jelas!
Paling membuatkan warganet berang, lelaki yang dikenali dengan nama Husaini itu tidak mempedulikan jeritan anaknya, bahkan terus memecut laju.
Haura Aulia sempat mengejar lori berwarna kuning tersebut dan berpaut pada tepi lori terbabit, namun malangnya beliau terjatuh dan kemudian digilis tayar belakang lori.
Ya ALLAH. Hanya ALLAH yang tahu perasaan ibunya yang melihat kejadian tragis itu depan matanya. Wanita dilihat hanya mampu menjerit dan memeluk anaknya yang meninggal dunia sekelip mata.
Lebih menyayat hati, si ibu dilaporkan terpaksa mengutip cebisan daging dan isi kepala anaknya dan dimasukkan dalam bungkusan.
Sungguh kejam! Husaini ketika ditahan pihak polis pada 21 Disember lalu tidak mengaku bersalah, bahkan cuba menyalahkan takdir dengan apa yang berlaku.
"Kalau nyenggol (dilanggar) bukan saya senggol (langgar), tapi memang anak saya sudah naasnya (ajalnya).”
Sedangkan haiwan pun sayangkan anak, inikan pula manusia yang cukup sifat akal fikirannya.
Semoga Allahyarhamah Haura Aulia dicucuri rahmat ALLAH dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.