Comelnya, si meow pandai gayakan baju macam model terkenal. 'Pereka fesyen', Fredi Lugina cetuskan sensasi media sosial...

Iklan
cosplay cat

GELAGAT si bulus memang menghiburkan. Lebih-lebih lagi jika si kucing itu sangat manja, mempunyai perwatakan yang comel dan pandai mengambil hati si penjaganya.

Dek taksub dan terlalu sayangkan si kucing yang dibela dari kecil, kebanyakan pemilik selalunya sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan keperluan buah hati mereka itu mencukupi termasuk menggayakan dengan pelbagai aksesori.

Iklan
Iklan

Bagi mereka yang sukakan pakaian model cosplay, apa kata anda cuci mata dengan keunikan busana comel yang dihasilkan seorang tukang jahit yang juga diberi jolokan 'pereka fesyen' kucing di Bogor, Indonesia.

Iklan

Kelainan yang dicetuskan Fredi Lugina Priadi ternyata menarik perhatian warganet apabila beliau mewujudkan pasar khas untuk jualan pakaian kucing. Memang cute sangat dan ada yang cukup unik.

Menurut laporan laman web terkenal Indonesia, Kompas, bekas guru tersebut cuba membuat kelainan dengan menjahit sendiri pakaian model cosplay untuk si meow.

Iklan

Sebelum ini, pemuda yang berusia 39 tahun itu dikatakan sudah mencuba pelbagai kerja selepas berhenti kerja termasuk membuka bengkel motosikal.

Pun demikian, rezekinya kini lebih kepada menjadi tukang jahit.

Bukan menjahit pakaian manusia tau, tetapi bapa kepada dua cahaya mata itu lebih tertumpu kepada mendesain pakaian si kucing.

Paling membuatkan penulis sendiri tertarik adalah busana pakaian seorang frontliner lengkap dengan pelitup muka dan jarum suntikan diperagakan dan dijual kepada orang ramai.

Bila dibelek, muka reda si bulus seperti 'reda' menggayakan busana berkenaan. Memang melucukan!

TETAP KENA KECAM

Busana figura watak filem seperti Superman juga ada. Kata Fredi, terdapat pelanggan yang menempah set pakaian tradisional untuk kucing kesayangan mereka.

Walaupun usahanya nampak luar biasa, beliau nampaknya tidak lari daripada dikecam di media sosial.

Namun, tegas Fredi, busana kucing yang dihasilkannya hanya untuk suka-suka dan bukannya untuk dipakai sepanjang masa.

"Kebanyakan kecaman datangnya daripada mereka yang beranggapan mengenakan busana kepada haiwan seperti kucing, satu tindakan kejam.

"Saya berpesan kepada para pelanggan supaya tidak memakaikan busana dalam tempoh yang lama, untuk suka-suka rakaman foto atau majlis sambutan sahaja tidak mengapa,” katanya.

Sebenarnya, perusahaan Fredi menjadi popular selepas ia tular menerusi akaun TikTok @Sogan yang kini memiliki lebih 50,000 pengikut.

Jika berpeluang, apa kata pembaca SinarPlus jenguk sebentar TikTok berkenaan.

Macam-macam busana yang comel-comel seperti Thor yang lengkap dengan penukul yang dikenali dengan nama Mjolnir dan banyak lagi watak popular dimuat naik. Cosplay pocong pun ada!

Boleh tersengih dan tertawa kecil kita dibuat bila menontonnya aksi si bulus dan busana yang dipakai.