ZAMAN milenial ini, memang ramai manusia yang bersikap pelik. Adakalanya perilaku yang ditonjolkan itu tidak pernah dan jarang sekali berlaku ketika zaman ibu bapa atau nenek moyang kita.
Barangkali jika pernah terjadi sebelum ini, ia tidaklah tersebar meluas sepertimana pada masa kini.
Masakan tidak, teknologi canggih sekarang membuatkan suatu info itu mudah tersebar luas.
Namun begitu, seharusnya kemudahan itu tidak sepatutnya mengikis nilai-nilai adab yang diajarkan kepada manusia.
Hinggakan ada yang sanggup berbuat onar kepada ibu atau bapa yang mengandungkan dan membesarkan mereka selama ini.
Dalam kejadian di Kota Salatiga, Indonesia, seorang anak tergamak menyaman ibu kandungnya sendiri gara-gara mahukan kereta Toyota Fortuner.
Anak tersebut membuat tuntutan di mahkamah berhubung perkara itu dan ibunya disaman oleh Mahkamah Daerah Salatiga kerana dianggap telah menyewa kenderaan tersebut.
Wanita malang itu, Dewi Firdauz, 52, tidak pernah menyangka anak kandungnya, Alfian Prabowo, 25, yang ditatang penuh kasih sayang sanggup memperlakukannya sedemikian rupa.
Dewi yang juga seorang pegawai dan bekas isteri kepada mantan Pengarah Hospital Daerah Salatiga, Dr Agus Sunaryo mendedahkan, dirinya membeli kereta Toyota Fortuner pada tahun 2013 di Toyota Kaligawe Semarang.
Dalam tuntutan tersebut, Dewi menjelaskan, jika beliau tidak memenuhi permintaan berkenaan, ia akan dihitung sebagai sewa.
"Menurut kiraan saya, ketika ini sewanya sudah mencapai Rp200 juta (RM57,600).
Dewi yang tidak diwakili peguam mengakui beliau kurang arif berkaitan undang-undang.
"Saya tiada peguam kerana ALLAH adalah pembela saya. ALLAH pasti akan menemani ibu-ibu yang membesarkan anak dengan ikhlas," kata dewi.
Sementara itu, peguam kepada Alfian, Caesar Fortunus Wauran memberitahu, tuntutan tersebut sebenarnya adalah teguran seorang anak kepada orang tuanya.
[caption id="attachment_34721" width="1024"] CEASAR menunjukkan surat tuntutan anak kepada ibunya.[/caption]
Katanya, defendan dalam kes itu sebenarnya melibatkan Dr Agus dan Dewi.
Caesar menambah, tuntutan yang dibuat Alfian itu sebenarnya adalah atas inisiatif jejaka itu sendiri.
"Tiada paksaan kerana mereka bosan melihat keadaan keluarga.
"Mahkamah juga akan memutuskan tuntutan ini sama ada menang atau kalah. Apa yang penting, anak itu hanya mahu melihat kedua-dua orang tua mereka berdamai," ungkapnya.
Begitu rupanya kisah sebenarnya. Apa-apapun kita doakanlah yang terbaik agar keluarga mereka dapat kembali berdamai.
Sumber: Kompas.com
Foto: Kompas.com & Freepik