KEBANYAKAN kita lebih gemar mencari apa sahaja maklumat menerusi kemudahan yang ada pada hari ini. Gajet dan internet sentiasa jadi peneman ke mana-mana sahaja.
Begitupun, tidak semua apa yang dimahukan lengkap tersedia dalam peranti. Adakalanya kita terpaksa menggunakan ‘cara lama’ iaitu dengan merujuk buku untuk menggali lebih banyak maklumat.
Pada masa itulah, perpustakaan dan kedai buku menjadi sasaran utama. Orang akan mendapatkan buku yang ingin dibaca atau dijadikan rujukan di situ. Maklum sahajalah, tempat sebegitu begitu sinonim dengan gedung ilmu.
Ada pelbagai genre, fiksyen dan jutaan judul buku lain disediakan. Di Malaysia, paling terbaik adalah di Perpustakaan Negara atau di Big Bad Wolf.
Segelintir orang mungkin gemar mengumpul koleksi buku hingga sanggup menjadikan satu ruangan dalam rumahnya sebagai perpustakaan mini.
Sebilangan pula barangkali kurang berkemampuan dan menjadikan perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’ masing-masing untuk membaca.
Begitupun, lain pula pendekatan yang diambil seorang penarik beca di Yogyakarta, Indonesia. Beliau menggunakan becanya untuk dijadikan sebagai ‘perpustakaan beca’!
Demikianlah usaha yang dilakukan oleh lelaki yang dikenali sebagai Sutopo. Sungguh, pendekatan yang digunakan oleh beliau ‘lari’ daripada konsep kebiasaan yang dilakukan oleh orang lain.
[caption id="attachment_35720" width="1024"] JIKA tidak menghantar penumpangnya, Sutopo akan mengajak orang ramai untuk membaca atau meminjam buku-buku di dalam becanya secara percuma.[/caption]
Bayangkan, ‘perpustakaan beca’ milik Sutopo, 74, turut menawarkan khidmat meminjam buku kepada pelbagai jenis lapisan masyarakat secara percuma walaupun individu tersebut bukan pelanggannya.
Sepertimana orang lain, saban hari, warga emas itu tidak pernah lelah membanting tulang mencari rezeki dengan membawa beca.
Sekalipun tiada penumpang, Sutopo tanpa jemu mengajak orang ramai membaca atau meminjam buku daripada ‘perpustakaan beca’ yang dipanggil sebagai Becak Pustaka miliknya.
"Mari baca, percuma, percuma,” kata beliau kepada wartawan BBC News Indonesia yang menemuinya baru-baru ini.
(Artikel berkaitan: Pupuk minat membaca bukan sekadar guna buku, cara dan teknik yang tepat sangat membantu)
Hobi membaca
Pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan oleh wartawan untuk menyingkap kisah lelaki berhati cekal itu yang tampil dengan idea kreatif berkenaan. Rupa-rupanya, Sutopo bukan sembarangan orang. Beliau ialah pesara pegawai negeri sejak tahun 2003 lagi.
Disebabkan sudah terbiasa bekerja, beliau enggan mensia-siakan masa yang ada. Lantas, sekitar tahun 2004, lelaki itu nekad untuk menjadi penarik beca.
"Saya tak mahu pencen. Saya mahu terus bergerak supaya tetap sihat,” ujar bekas graduan jurusan papan iklan di Akademi Seni Rupa Indonesia itu kepada wartawan BBC News Indonesia.
[caption id="attachment_35719" width="1024"] Koleksi buku Sutopo di beca berkenaan ada sekitar 100 judul pelbagai jenis yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.[/caption]
Kepada jogja.tribunnews.com pula, lelaki yang masih kuat kudratnya berkata, biarpun sudah dimamah usia, dirinya sudah terbiasa bekerja sejak dulu lagi dan tidak boleh duduk diam.
"Rasa tak seronok pula kalau tak ada apa-apa kerja. Teruslah saya jadi pemandu beca. Bolehlah saya bersukan,” ujarnya sambil tertawa.
Satu sikapnya yang memang sukar diubah, Sutopo tidak pernah langsung meninggalkan hobinya yang suka membaca buku sejak kecil lagi. Malah, buku sentiasa menjadi penemannya biarpun ketika mengayuh beca. Adakalanya beliau akan mengisi masanya dengan membaca buku.
Tidak sangka pula ada yang memerhatikan tabiatnya itu. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang penumpangnya menyumbangkan 40 buku kepada Sutopo.
Namun begitu, lelaki yang seusia datuk kita itu enggan ‘mengaut’ ilmu itu seorang diri. Beliau kemudian membuat rak buku sendiri. Reka bentuknya disesuaikan dengan ruangan yang ada pada bahagian belakang dan kanan beca miliknya.
Maka, sekitar tahun 2017, terhasillah Becak Pustaka yang bergerak ke mana-mana mengikut rentak kayuhan kaki Sutopo.
Tidak dinafikan sebuah buku kadangkala mencecah harga ratusan ringgit. Tidak ramai yang mampu memilikinya. Ada segelintir orang pula segan untuk singgah ke perpustakaan bagi membaca buku kerana ia dianggap sebagai sebuah bangunan yang gah.
[caption id="attachment_35718" width="1024"] Meskipun kadangkala tidak membawa pulang hasil ketika musim pandemik Covid-19, namun Sutopo gigih meneruskan usahanya dalam menggalakkan lebih ramai orang membaca buku.[/caption]
Semua itu menguatkan tekad Sutopo untuk mengajak orang ramai membaca dan tidak kisah meminjamkan buku tersebut.
"Pembaca buku saya ada pelbagai. Bukan sahaja pelajar, malah orang yang mencari nafkah di jalanan, peniaga pasar dan penarik beca, mereka semua berminat membaca.
"Itulah sebabnya saya melakukan pendekatan ‘perpustakaan beca’ ini. Saya pergi kepada mereka supaya mereka boleh membaca secara percuma,” katanya sebagaimana dipetik menerusi BBC News Indonesia.
Halalkan jika buku tak dipulangkan
Apa yang menariknya tentang ‘perpustakaan beca’ itu, Sutopo langsung tidak pernah menetapkan had masa untuk orang ramai meminjam buku-bukunya itu.
Ketika dunia masih bergelut melawan pandemik Covid-19, sama juga halnya dengan Sutopo yang terkena tempiasnya.
Akuinya, penumpang sekarang tidak seramai dahulu. Begitu juga dengan peminjam buku di Becak Pustaka.
"Sekarang (sepanjang pandemik), paling banyak pun saya hanya dapat sekitar Rp10,000 hingga Rp20,000 sehari berbanding Rp50,000 pada hari biasa sebelum wabak berkenaan.
"Kadang-kadang langsung tiada penumpang. Peminjam buku pun semakin berkurang. Jika ada pun, purata sekitar satu atau dua orang saban hari,” ujarnya.
[caption id="attachment_35722" width="1024"] KEPELBAGAIAN buku di dalam beca Becak Pustaka Sutopo menarik minat ramai orang untuk membaca dan meminjam buku di situ.[/caption]
Sebaliknya, datuk kepada enam orang cucu itu terus berharap agar generasi muda pada hari ini tidak meninggalkan budaya membaca buku yang disifatkan sebagai ‘jendela dunia’.
"Buku sangat bagus untuk perkembangan pendidikan masyarakat agar menjadi manusia yang lebih baik,” ujarnya.
Ketika diwawancara jogja.tribunnews.com pada tahun lalu, Sutopo sedang berusaha untuk menaik taraf becanya menjadi beca elektrik. Semuanya dilakukan supaya jangkauan pelanggan dan peminjam buku semakin meluas.
"Beban buku sebenarnya sama dengan satu penumpang. Jika ada penumpang, kenderaan kecil ini akan semakin berat.
"Justeru, saya berusaha untuk menjadikan ia sebagai beca elektrik agar tidak terlalu berat dan mempunyai liputan yang lebih luas,” katanya penuh berharap.
Selagi kudratnya masih kuat dan ampuh, Sutopo akan tetap berjuang mendidik masyarakat dengan caranya yang tersendiri.
Sesungguhnya, semangat tinggi Sutopo itu wajar dicontohi oleh anak muda yang banyak menghabiskan masa dengan gajet.
Biarpun sudah dimamah usia, namun kecintaan dan jiwanya kepada buku bagaikan tidak pernah padam sampai bila-bila.
Sumber & Foto: BBC News Indonesia, tribunnews.com & Jogja.tribunnews.com