JIKA baru-baru ini Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah dilaporkan selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Sinovac Covid-19 Rabu lalu, hari ini tiba pula giliran Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk melakukan perkara serupa.
Lee dilaporkan telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, di Hospital Besar Singapura, hari ini.
Perkara itu turut dikongsikan beliau menerusi laman sosial Facebook miliknya dan turut memuat naik video beliau diberikan suntikan berkenaan.
Perdana Menteri Singapura itu telah menerima suntikan pertama dos Covid-19 Pfizer-BioNTech, pada 8 Januari lepas.
Menurut Lee, Singapura sedang mempergiatkan program vaksin dengan membuka lebih banyak pusat vaksinasi.
Setakat 27 Januari (Khamis), Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan lebih 113,000 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Lebih 50 individu menerima dos kedua vaksin mereka sekali gus menyempurnakan rejimen penuh vaksinasi, katanya.
Penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 tiba di Singapura pada 21 Dis tahun lepas.
Republik itu memulakan program vaksinasi pada 30 Disember tahun talu dengan pekerja kesihatan di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) menjadi golongan pertama menerima suntikan vaksin tersebut.