ADALAH menjadi kewajipan bagi kedua ibu bapa untuk memberikan nama yang baik kepada anak-anaknya.
Biasanya, nama-nama yang mempunyai makna yang indah dan unik menjadi pilihan hati.
Namun lain pula yang terjadi kepada pasangan suami isteri di Jawa Tengah, Indonesia ini.
Bayi lelaki yang dilahirkan pada 23 Disember lalu diberikan nama Dinas Komunikasi Informasi Statistik atau nama panggilannya Dinko.
Lapor kompas.tv, pasangan suami isteri, Slamet Wahyudi, 38, dan Ririn Linda Tunggal Sari, 33, telah bernazar untuk menamakan anak lelaki mereka sempena nama tempat Slamet mencari rezeki.
Menurut Slamet, nama tersebut dipilih bukanlah untuk menjadi bahan lawak namun ia sebagai bukti dan penghargaannya kepada syarikat tersebut yang menjadi sumber rezekinya selama ini.
Berkongsi mengenai nama itu, Slamet yang sudah bekerja selama 18 tahun di syarikat tersebut berkata, pemberian nama berkenaan telah dirancang sejak awal pernikahan.
Katanya, pada awalnya, nama tersebut ingin diberi kepada anak pertama mereka, namun ditangguhkan kerana anak sulung mereka adalah anak perempuan.
Baca juga Pengurus pejabat paling tua di dunia, masih gigih bekerja usia 90 tahun
Kisah pasangan berkenaan turut tular sekali gus rumahnya menjadi tumpuan orang ramai setiap masa.
Namun, menjengah ruangan komen, ternyata ada warganet yang tidak menyenangi nama tersebut.
Jadi, berhati-hatilah dalam memilih dan memberikan nama kepada anak-anak. Pilihlah nama yang sekurang-kurangnya membawa maksud yang baik.