INDIA kini berhadapan dengan ‘tsunami’ kes positif Covid-19. Selain menyuntik vaksin, pelbagai cara digunakan oleh segelintir rakyat negara itu untuk mengelakkan jangkitan.
Pandemik koronavirus telah menyebabkan kehancuran di India, dengan 22.66 juta kes dan 246,116 kematian dilaporkan setakat ini. Pakar perubatan turut memaklumkan jumlah sebenar mungkin lima hingga 10 kali lebih tinggi.
Warga negara itu terpaksa ‘berjuang’ mendapatkan tempat hospital, bekalan oksigen atau ubat-ubatan hingga ramai yang tewas akibat tidak mendapat rawatan.
Baca juga India Covid-19: Doktor Muda Bunuh Diri, Stres Pesakit Positif Terus Meningkat
Di Gujarat, negeri yang terletak wilayah barat India, beberapa individu bertindak mengunjungi tempat perlindungan lembu seminggu sekali untuk mengoleskan tubuh mereka dengan najis dan air kencing lembu.
Langkah itu dipercayai dapat meningkatkan kekebalan tubuh terhadap atau membantu pulih daripada serangan koronavirus.
Dalam agama Hindu, lembu adalah simbol suci kehidupan dan bumi.
Ketika individu terbabit menunggu najis dan campuran air kencing pada badan kering, mereka akan memeluk atau menghormati lembu di tempat perlindungan dan berlatih yoga untuk meningkatkan tahap tenaga. Salutan najis pada tubuh kemudiannya dibasuh dengan susu atau dadih.
Baca juga 6 Punca Wabak Covid-19 Di India Semakin Mengganas
Doktor, saintis di India dan di seluruh dunia telah berulang kali memberi amaran agar tidak melakukan rawatan alternatif untuk Covid-19 kerana ia boleh merumitkan masalah kesihatan.
Kata Dr JA Jayalal, Presiden Persatuan Perubatan India, tiada bukti saintifik konkrit najis atau air kencing lembu berfungsi meningkatkan kekebalan terhadap Covid-19, semuanya berdasarkan kepercayaan.
Malah perbuatan itu meningkatkan risiko kesihatan dan perebakan penyakit lain dapat daripada haiwan ke manusia. Terdapat juga kebimbangan bahawa amalan ini dapat menyumbang kepada penyebaran virus kerana ia melibatkan individu berada dalam kumpulan.
Sumber: Tempo