TURKI sememangnya terkenal dengan landskap geografi menarik. Terletak di dua benua dan dikelilingi empat laut, maka bukan sesuatu mengejutkan apabila negara itu memiliki lebih daripada 9,000 spesies bunga yang satu pertiga adalah asli.
Di sana, bunga dan tumbuh-tumbuhan digunakan untuk tujuan perubatan, kulinari dan landskap antaranya bunga tulip dan mawar.
Jom ikuti perkongsian SinarPlus bunga-bunga popular yang terdapat di Turki:
1. Tulip
Turki terkenal dengan bunga tulip atau dalam bahasa Turki 'Lale' khususnya pada zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyyah.
'Tulip Era' adalah zaman yang cukup mendamaikan bagi kerajaan apabila tulip yang merupakan bunga kebangsaan negara itu dieksport ke Belanda dan Eropah.
Kecantikan bunga tulip yang berwarna-warni turut diterapkan pada corak jubin, tekstil dan permaidani.
Di kawasan pergunungan di tenggara Turki, korang akan menemui 'inverted tulip' yang tumbuh sebagai gugusan bunga berbentuk loceng dan tergantung terbalik.
2. Oleander
Bunga ini sering dilihat di tepi jalan dan sepanjang pantai selatan Turki.
Nerium oleander yang disebut sebagai 'Zakkum' dalam bahasa Turki adalah sejenis pokok renek atau pohon kecil yang tumbuh dengan bunga putih, merah jambu atau bunga red five-lobed.
Bagaimanapun, jangan terpedaya dengan kecantikannya kerana flora itu beracun dan mempunyai bau berfungsi sebagai perlindungan daripada haiwan atau manusia yang boleh membawa maut.
Tanaman tersebut juga disebut di dalam al-Quran sebagai pohon yang keluar dari 'dasar neraka'. Ia tampak indah dan menawan, tetapi jangan sentuh.
3. Safron
Safron kelihatan seperti benang berwarna oren yang terdapat pada bunga Crocus Sativa dan terkenal sebagai rempah paling mahal di dunia.
Ia hanya dihasilkan di beberapa tempat di dunia antaranya kota Safranbolu di Turki.
Kalau korang nak tahu Safranbolu disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1994 berikutan rumah dan seni bina era Uthmaniyyah yang kekal dipelihara dengan baik. Menarik bukan?
4. Wild Orchid
Bunga Wild Orchids yang berwarna ungu dan putih menyuntik pemandangan indah di Turki.
Tumbuhan yang mengambil masa selama lapan tahun sebelum dituai itu, lazimnya dijadikan minuman panas dikenali salep yang popular pada era Uthmaniyyah. Kenikmatannya semakin dirasai apabila diminum pada musim sejuk.
Selain itu, bunga tersebut juga digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan ais krim di Turki.
5. Ros
Turki adalah pengeksport utama bunga mawar di dunia. Dimaklumkan, selain pencuci, mulut bunga mawar juga menjadi pilihan dalam pembuatan minyak wangi dan kosmetik.
Di negara tersebut Damaskena rosa atau mawar Damaskus antara jenis ros paling popular. Ia boleh didapati di Isparta, Turki sebuah kota terletak di barat Turki dikenali Kota Mawar.
Ini termasuklah, bunga mawar hitam yang tumbuh subur di daerah Halfeti, Turki.