SETIAP pembedahan baik kecil mahupun besar mempunyai risiko dan komplikasi tertentu. Begitu juga dengan proses bersalin secara pembedahan caesarean (czer).
Baru-baru ini seorang bayi perempuan, Kyanni William di Colorado, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terpaksa menerima 13 jahitan selepas doktor yang melakukan pembedahan tertoreh pipi kirinya.
Pada mulanya, ibu bapa bayi berkenaan merancang bersalin secara normal, namun disebabkan degupan jantung Kyanni gagal dikesan, maka pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan.
"Kami dimaklumkan bayi kami tidak bergerak tiba-tiba dan degupan jantung gagal didengar. Jadi pihak hospital segera melakukan prosedur caesarean," kata Damarqus Williams, bapa kepada bayi tersebut.
Sejurus selepas Kyanni dikeluarkan kelihatan jelas pada bahagian pipinya kesan luka akibat torehan.
Malah, ahli keluarga juga mendakwa pihak hospital memberi alasan kedudukan bayi berada terlalu dekat dengan dinding plasenta.
Baca juga Bayi Baru Dilahirkan Kehilangan Ibu, Nenek Dan Datuk Akibat Covid-19
Baca juga Luar Biasa! Wanita Afrika Selatan Lahir Kembar 10, Hasil Scan Mendapati Kembar Lapan
Sementara itu, nenek bayi tersebut Tashaira Williams bersyukur dengan kelahiran Kyanni walaupun kecewa dengan kejadian menimpa cucu kesayangannya.
"Melihat cucu yang baru lahir berjumpa pakar bedah plastik untuk mendapatkan 13 jahitan perasaannya sungguh memilukan.
"Setakat ini saya belum pernah mendengar keluarga yang terpaksa melalui kejadian seperti kami," luah beliau.
Difahamkan, keluarga bayi berkenaan sedang mengumpul dana bagi mendapatkan tindakan undang-undang kepada pihak terbabit.
Sumber: New York Post