BARU-BARU ini, tular sebuah video menyaksikan pengunjung sebuah pasar raya di Indonesia yang berlari-lari meluru mahu membeli satu jenama susu.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Tangerang, Jakarta selepas Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) bersetuju melaksanakan Pembekuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat bagi mengurangkan lonjakan kes bermula 3 Julai lalu.
Susu berkenaan dikatakan bukan minuman sembarangan.
Mana tidaknya, minuman itu telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya mengandungi khasiat dan mujarab untuk menghindari diri daripada terkini virus Covid-19!
Disebabkan 'termakan' dengan kenyataan palsu itu, orang ramai telah berpusu-pusu mendapatkannya.
Menerusi video yang berdurasi 30 saat itu, masyarakat pelbagai lapisan umur dilihat berebut-rebut untuk memiliki susu berkenaan sehingga menyebabkan banyak tin susu bertaburan dan jatuh berselerak.
Bukan itu sahaja, troli-troli yang diguna untuk meletakkan barangan yang ingin dibeli juga terbalik kerana para pengunjung berusaha mengambil stok masing-masing.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa terkilan kerana pengunjung bersifat tamak dan terlalu gelojoh.
Ada juga di antara mereka yang berseloroh klip video itu ibarat satu babak dalam filem zombie.
Tidak kurang juga yang kesal dengan fakta yang mengatakan susu boleh melawan Covid-19.
Terdapat juga yang bimbang jika insiden itu menyebabkan virus lebih mudah dan cepat tersebar gara-gara kesesakan serta tidak patuh kepada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Situasi pandemik di republik itu kini disifatkan agak meruncing apabila setakat semalam sebanyak 27,233 kes positif baharu direkodkan dengan 555 kematian di Indonesia.
Ingat, setakat ini tiada kajian mengatakan bahawa terdapat makanan atau minuman yang dapat mencegah virus korona kecuali dengan suntikan beberapa jenis vaksin.
Artikel berkaitan: Penangan tonton bola di stadium, hampir 2,000 penyokong Scotland positif Covid-19
Kepada rakyat Malaysia khususnya, diharap tidak terpedaya dengan mana-mana pandangan atau terikut-ikut dengan petua yang 'tidak diiktiraf' oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jangan lupa dapatkan vaksin dan kepada yang belum dapat, sabar ya menunggu giliran anda.
Semoga kita semua dapat melawan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan jayanya sedikit masa sahaja lagi.