BEBERAPA video memaparkan rakyat Afghanistan berlari di Lapangan Terbang Kabul tular di pelbagai platform media sosial.
Mereka berlari seolah-olah panik dan terdesak untuk meninggalkan negara itu dengan mendapatkan tempat di dalam pesawat.
Melalui paparan video, pesawat telah dikejar oleh warga Afghanistan yang membanjiri ruang landasan di lapangan terbang berkenaan.
Lebih menyedihkan, ada yang sanggup melakukan aksi seolah-olah babak filem Hollywood apabila nekad meninggalkan negara itu dengan berpaut pada bahagian luar pesawat.
Susulan tindakan itu, media tempatan, Askava melaporkan tiga individu dilaporkan sudah meninggal dunia sebaik sahaja terjatuh dari kapal terbang tentera Amerika Syarikat semasa berlepas dari Lapangan Terbang Kabul.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai berpaut di luar kapal terbang sebelum terjatuh dan terhempap di landasan lapangan tersebut.