BAYANGKAN rumah yang kita diami seorang diri sebenarnya diceroboh individu yang tidak dikenali dan tinggal bersama lebih seminggu lamanya.
Seramkan? Bukan saja menjadikan ruang sempit kabinet dapur sebagai tempat persembunyian, makanan yang ada habis dimakannya.
Memang pelik bila melihat stok makanan yang disimpan menyusut tiba-tiba, lagi menghairankan apabila semua barang seolah-olah diusik seseorang.
Bagi mereka yang peka dengan barangan yang dibeli atau disimpan, mesti boleh hidu jika ada sesuatu berubah daripada tempatnya.
Lapor dailystar.co.uk, keadaan mencurigakan itu dikongsikan seorang lelaki, Joe Cummings yang terkejut dengan penemuan rakaman video yang berjaya direkodnya.
Selebriti dari Manhattan, New York itu tergerak hati untuk memasang kamera di kawasan dapur bagi menyiasat punca kehilangan makanan di dapurnya.
Pada awalnya, beliau menyangkakan mungkin haiwan seperti rakun yang mencuri makanan, rupa-rupanya apa yang ditemui benar-benar mengejutkan!
Sosok tubuh seorang wanita dengan rambut mengerbang yang turun dari kabinet dapur memang menyeramkan.
Rupa-rupanya, ruang kabinet pada bahagian atas menjadi rumah wanita tersebut tanpa disedari sesiapapun.
Bagaikan menonton filem seram apabila sosok tubuh itu turun dari ruang kabinet dan lebih menjijikkan, wanita itu membuang air di sinki sebelum membuka peti sejuk untuk mencari makanan.
Lagaknya seperti pemilik rumah apabila dilihat santai menonton televisyen di sofa.
Tidak mahu berlengah, lelaki tersebut segera menghubungi pihak polis untuk menahan penceroboh berkenaan.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Hasil siasatan juga mendapati, wanita itu sudah tinggal di ruang kabinet tersebut lebih dua minggu lamanya.
Menurut laporan polis, suspek pada asalnya mahu merompak rumah tersebut, namun disebabkan rumah itu kosong, dia terus tinggal di sana secara sembunyi-sembunyi.
Aduhai, agak menyeramkan apabila ada orang tidak dikenali berniat jahat tinggal bersama tanpa disedari.
Apapun, berhati-hatilah ya. Kalau boleh, pasanglah kamera litar tertutup untuk memantau kawasan rumah.