TULAR di media sosial kelakuan seorang pemuda sanggup ‘berlakon’ menjadi orang kurang upaya (OKU) hanya kerana mahu mendapatkan parkir kereta di sebuah pusat membeli belah.
Video yang dikongsikan itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan tidak bermoral pemuda terbabit.
Rakaman berdurasi 38 saat yang dikongsi di laman sosial TikTok itu dimuat naik semula di laman Twitter.
Ia memaparkan seorang lelaki dan rakannya berada kawasan parkir di sebuah pusat membeli belah.
Menurut video, mereka terdahulu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan parkir kereta disebabkan pengunjung terlalu ramai.
Rakannya mencadangkan meletakkan kenderaan mereka di petak khas untuk OKU.
Baca juga: Terpisah 24 Jam Lari Dari Debu Panas Gunung Berapi, Isteri Menangis Lihat Suami Masih Hidup
Kelihatan salah seorang daripada mereka dipercayai dengan selambanya ‘berlakon’ menjadi OKU semata-mata mahu mendapatkan parkir dengan cara yang mudah.
"Aku ada dekat ****** ni, tapi nak parking susah. Lepas itu, kawan cakap kalau nak dapat parking ada satu cara.
"Betul-betul dapat parkinglah, tapi cara dia pelik sikitlah. Betul-betul dia jadi cacat, ini kalau kantoi dengan pak guard ni memang mati. Tapi, betul-betul dapat parking,” katanya.
Video berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Presiden OKU Sentral, aktivis kemasyarakatan dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
"Saya ingin memberikan amaran kepada saudara Wan dan Ajim.
"Kalian sudah mempersendakan dengan menggunakan parkir OKU dan berlakon diri anda sebagai OKU.
"Saya mohon kalian berdua memohon maaf daripada komuniti OKU di negara kita.
"Sudahlah kami susah, orang pula selalu memandang rendah. Orang semua menggunakan kemudahan yang disediakan khas untuk kami.
"Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermain-mainkan, mempersendakan kami. Pohon maaf kepada OKU,” kata Ras Adiba menerusi perkongsiannya di Twitter.
PEMUDA TAMPIL MEMOHON MAAF
Susulan daripada itu, pemuda yang berkongsi video di TikTok memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.
Katanya, ia sebenarnya adalah kandungan untuk TikToknya yang memberikan mesej mendidik masyaraklat.
"Kepada rakyat malaysia dan golongan OKU saya memohon maaf. matlamat video itu tersalah erti. Silapnya dari saya, terima kasih kerana menegur,” tulisnya di TikTok.
"Video saya yang parkir OKU itu menjadi viral dan agak negatif. Justeru saya ingin meminta maaf terlebih dahulu.
"Benar ia adalah content dan kawan saya Ajim kawan saya sengau melakonkan semula apa yang kita nampak dalam realiti masyarakat.
"Jadi apa yang saya lakukan itu, realitinya memang ada. Orang normal cuba menjadi OKU untuk mendapatkan parkir.
"Jika dilihat menerusi video itu, petak parkir yang kami gunakan juga bukan parkir khas OKU.
"Saya yang salah kerana di akhir video itu saya tidak menjelaskan bahawa sesetengah perkara yang tidak boleh dilakukan.
Baca juga: [VIDEO]"Keladi mak dah viral..” Pokok keladi saiz gergasi belakang rumah tinggi dari bumbung
"Di TikTok saya selalu ketengahkan isu-isu OKU dan saya sendiri berkawan dengan mereka (OKU).
"Saya memohon maaf atas ketelanjuran ini. Ia mungkin cliche bagi korang. Bila buat salah minta maaf.
"Saya memohon maaf bukan kerana video itu. Perkara seperti ini (parkir disalah guna) banyak berlaku tetapi pihak OKU tidak dapat mengetengahkan perkara itu.
"Saya cuba mengenengahkan isu itu dalam video saya tetapi saya silap kerana tidak menjelaskannya di dalam video,” katanyanya menerusi video berdurasi tiga minit.
Dia turut menjelaskan banyak menerima mesej daripada OKU berkenaan isu itu memohon maaf secara terbuka kepada Ras Adiba.
"Jadi dengan ini saya memohon maaf jika video ini menyebabkan rasa marah dengan sikap saya terutama kepada Datuk Ras Adiba. Saya jelas dengan penerangan yang diberikan,” katanya.
Menerusi tinjauan SinarPlus, video asal dari akaun TikToknya sudahpun dipadamkan.
Diharapkan kes ini menjadi pengajaran buat kita semua agar sensitif dan tidak mempermainkan kemudahan disediakan buat OKU.
Baca juga: Percutian Bersama Keluarga Di Lokasi ‘Panas,’ Lakukan 7 Tip Elak Gangguan
Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!
Sumber:">Twitter Ras Adiba, TikTok Iswan Ishak