MISTERI kehilangan seorang gadis berusia 19 tahun lebih seminggu akhirnya terjawab selepas ditemui selamat dengan keadaan lemah dan berlumuran arang.
Mangsa, Madelyn Allen ditemui dalam keadaan bogel di sebuah ruang bawah tanah di sebuah rumah di Loa, Wayne County, Utah, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kisah penculikan gadis tersebut menggemparkan penduduk setempat apabila ditemui masih hidup, meskipun berdepan seksaan cukup teruk.
Lapor nbcnews.com, Allen dikatakan hilang selepas keluar dari asrama di Snow College, Ephraim, Utah pada jam 9.22 malam waktu tempatan pada 13 Disember lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau kali terakhir dilihat memakai jaket dan skirt sebelum meninggalkan bangunan asrama.
Memetik laporan portal tersebut, mangsa dikatakan dilarikan seorang lelaki, Brent Brown berusia 39 tahun yang dikenali melalui ruang perbualan dalam talian.
Suspek dikatakan membawa Allen sejauh 140 kilometer dari asramanya dan kemudiannya mengurungnya di ruang bawah tanah yang menjadi tempat penyimpanan arang tersebut.
Menurut laporan afidavit, bukan sahaja diugut untuk membunuh kedua-dua ibu bapanya, Allen juga dicekik, diseksa dan dirogol beberapa kali oleh suspek berhati binatang tersebut.
Baca juga Dijumpai sedang tunggu pak cik beli aiskrim, ini kronologi 6 jam anak hilang diculik
Seksaan tidak terhenti setakat itu sahaja apabila gadis malang berkenaan diikat ketika suspek keluar bekerja dan ditinggalkan makanan seperti anjing.
Mangsa dikatakan hanya dibenarkan membuat satu pesanan terakhir kepada ibu bapanya pada 14 Disember lalu sebelum telefon miliknya dimusnahkan dan dibuang ke dalam tong sampah.
Mahu dijadikan cerita, mesej terakhir yang dihantar Allen kepada ibu bapanya yang bertulis ‘i love u’ membuatkan mereka tertanya-tanya dan tidak sedap hati.
Masakan tidak, panggilan dan pesanan ringkas yang dibuat ibu bapanya tidak dibalas selepas menerima mesej tersebut, malah Allen gagal dihubungi untuk tempoh cukup lama.
Baca juga Tawaran lebih RM4 juta cari Cleo Smith hilang, siapa sangka ini kisahnya selepas 18 hari ditemui
Tidak hanya berdiam diri, keluarga mangsa kemudiannya mendapatkan khidmat rangkaian Verizon untuk mengenal pasti kedudukan terakhir anaknya.
Sebaik sahaja mengetahui lokasi di sekitar pekan Loa, ibu bapa Allen melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Apabila siasatan dibuat di sebuah tingkap rumah ternampak kelibat seorang gadis berambut perang di ruang bawah tanah dalam ketakutan.
Curiga dengan situasi tersebut, pasukan polis mengetuk pintu rumah berkenaan dan Brown yang membuka pintu memberitahu tiada siapa di rumah melainkannya.
Malah, suspek juga tidak membenarkan pasukan polis masuk tanpa surat kebenaran membuatkan pihak berkuasa terus menghubungi kedua ibu bapa suspek yang dikatakan pemilik rumah tersebut.
Sebaik sahaja menerima kebenaran untuk membuat pemeriksaan, pihak polis terus ke ruang bawah tanah untuk menyelamatkan gadis tersebut sebelum terlambat.
Sangkaan pihak polis bahawa gadis tersebut adalah Allen tidak meleset walaupun keadaan gadis itu sudah ‘berubah’ dengan rambut dipotong pendek.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Menurut ibu mangsa, Tanya Allen dalam sidang media, pihaknya bersyukur tidak terhingga apabila dapat melihat anaknya ditemui dalam keadaan masih hidup.
"Kami berharap Maddie dapat ‘move on’ daripada insiden trauma ini dan meneruskan hidup serta mencapai kebahagian pada masa depan,” katanya memetik laporan tersebut.
Suspek yang ditahan kemudiannya didakwa kerana menghalang tugas pasukan polis, penculikan dan merogol.
Moga suspek dikenakan hukuman setimpal dan menjadi pengajaran buat kita semua. #kitajagakita #kitalaluibersama