Tersentuh hati! Nabila Razali tunaikan impian, rai hari lahir pesakit leukemia buat ramai sebak – ‘Saya cuba jadi sahabat syurga Zahra’

No Image Caption
A
A
A

KASIH sayang tidak mengenal jarak, status mahupun kesihatan.

Itulah yang terzahir apabila penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali menghadiahkan sebuah momen penuh makna buat seorang peminat istimewanya yang sedang bertarung dengan penyakit leukemia.

Perkongsian menyentuh hati itu bukan sahaja meraih perhatian warga maya, malah turut mengundang rasa sebak apabila melihat keikhlasan Nabila menyantuni remaja berusia 15 tahun, Zahra Sumayyah, dalam meraikan hari kelahirannya.

Menerusi satu hantaran di Instagram, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu memuat naik beberapa foto dan video ketika meluangkan masa bersama Zahra dalam sebuah majlis sederhana namun sarat dengan kasih sayang.

No Image Caption

Dalam kapsyen yang ditulis penuh emosi, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali, 34, menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat istimewa dan menyentuh perasaannya.

Menurut Nabila, Zahra pada awalnya menyimpan hasrat untuk pergi ke zoo sebagai sambutan hari lahir. Namun, atas nasihat doktor, permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Tidak berputus asa, Zahra kemudian meluahkan satu lagi impian iaitu ingin bertemu Nabila Razali dan meraikan hari lahir bersama-sama.

“Permintaan pertamanya nak pergi zoo tapi tak dibenarkan sebab terlalu bahaya untuk kondisinya. Permintaan keduanya pula nak jumpa saya dan sambut hari lahir bersama,” kongsinya.

Pelantun lagu Peluang Kedua itu kemudian tampil merealisasikan impian Zahra dengan meluangkan masa makan tengah hari bersama, menyanyi, berbual mesra serta bertukar surat dan kad ucapan.

Apa yang lebih menghibakan, Zahra turut menghadiahkan sekeping kad kepada Nabila dengan tulisan penuh harapan agar mereka berdua menjadi 'sahabat syurga'.

Detik ringkas itu nyata memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada Nabila, malah kepada mereka yang menyaksikannya.

“Kami makan tengah hari bersama, sambut hari lahir, menyanyi, berbual, tukar surat dan berkongsi cerita. Ringkas tetapi amat bermakna buat kami semua.

“Setiap saat bersama adik Zahra membuatkan saya kagum dengan kekuatan adik. Masya-ALLAH,” tulisnya lagi.

Sahabat syurga

Nabila turut menitipkan doa penuh kasih buat Zahra agar terus diberikan kekuatan dan kesembuhan.

“Buat adik Zahra, selamat ulang tahun adikku sayang. Semoga ALLAH kurniakan kesembuhan, kekuatan dan hari-hari yang penuh dengan cahaya.

“Saya doakan adik sentiasa dikelilingi kasih sayang, cinta dan senyuman yang takkan padam. Saya cuba untuk jadi sahabat syurga Zahra,” katanya.

No Image Caption

Perkongsian itu pantas dibanjiri komen positif daripada peminat yang memuji keperibadian Nabila yang lembut hati dan tidak lokek berkongsi kasih sayang.

Ramai yang mengakui tersentuh melihat keikhlasan selebriti itu meluangkan masa bersama peminat yang sedang diuji dengan kesakitan, sekali gus menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk lebih menghargai kehidupan.

Dalam dunia hiburan yang sering disorot dengan glamor dan populariti, tindakan kecil namun penuh makna seperti ini membuktikan bahawa nilai kemanusiaan tetap menjadi perkara paling indah untuk dikongsi.

Momen antara Nabila Razali dan Zahra Sumayyah ini bukan sekadar sambutan hari lahir, tetapi satu kenangan manis yang akan terpahat sebagai simbol kasih, harapan dan kekuatan luar biasa seorang remaja yang tidak pernah berhenti bermimpi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang