Aisyah Aziz timang cahaya mata sulung, ibu titip doa menyentuh hati – ‘Hadiah sangat bernilai buat kami sekeluarga’

No Image Caption
A
A
A

KEHADIRAN cahaya mata sentiasa menjadi detik paling indah dalam sesebuah keluarga, apatah lagi apabila ia disambut penuh kasih sayang, doa dan rasa syukur.

Itulah yang kini dirasai keluarga penyanyi bersuara lunak, Aisyah Aziz, apabila rumah tangga yang dibina bersama suami tercinta diserikan dengan kehadiran zuriat sulung.

Berita menggembirakan itu dikongsikan oleh ibunya, Siti Hafiza Sheikh Mohamad, menerusi satu hantaran penuh emosi di Instagram.

Walaupun wajah si kecil tidak didedahkan, namun jelas terpancar kebahagiaan apabila Hafiza memuat naik foto dirinya bersama suami, Aziz Sapdan, sedang meriba cucu ketiga mereka.

Dalam kapsyen menyentuh hati, Hafiza meluahkan rasa rindu dan keterujaan terhadap cucu kesayangannya yang difahamkan dilahirkan pada bulan lalu.

“Ummi Wan dan Tok Ayah sudah mula merindui kamu. Kasih sayang dan pelukan buat anak tersayang kami, Aisyah Aziz dan suami Fahrudin Amir. Masya-ALLAH, tabarakallah,” tulisnya.

Walaupun tidak berkongsi butiran lanjut mengenai jantina mahupun tarikh kelahiran, dia turut menitipkan doa penuh makna agar cucunya sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT.

“Masya-ALLAH, Allahumma barik. Hadiah yang sangat-sangat bernilai buat kami sekeluarga.

"Kami doakan cucunda sentiasa menjadi anak yang soleh, penyejuk mata buat abah dan ummi serta seluruh keluarga, dan sentiasa berbahagia di dunia dan akhirat," ungkapnya di kapsyen.

Perkongsian itu pantas menerima ucapan tahniah daripada peminat dan rakan artis yang turut tumpang gembira dengan fasa baharu kehidupan Aisyah sebagai seorang ibu.

Bagaimanapun, pelantun lagu Pujaanku itu sendiri masih belum memuat naik sebarang perkongsian rasmi mengenai kelahiran zuriat pertamanya di media sosial, seolah-olah memilih untuk menikmati detik manis tersebut secara lebih privasi.

Untuk rekod, Aisyah mendirikan rumah tangga bersama Dr. Fahrudin Amir pada April 2025.

Sekadar makluman, Dr Fahrudin merupakan abang kepada suami selebriti terkenal Neelofa, iaitu Mohd. Haris Ismail.

Semoga kehadiran si comel ini terus membawa sinar dan keberkatan buat keluarga kecil Aisyah Aziz.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang