Pernah kena ‘friend zone’, Daler Yusof bahagia dengan jodoh diatur arwah datuk- 'Dating dulu baru kahwin, sweet kan?'
DI saat ramai berkongsi kisah cinta bermula di skrin telefon, swipe kanan, berbalas mesej, kemudian jatuh cinta, namun pelakon Daler Yusof pula melalui jalan yang jauh berbeza.
Tiada ‘dating apps’, tiada fasa bercinta panjang. Sebaliknya, jodohnya hadir dalam tempoh yang singkat, namun sarat dengan restu dan hikmah.
Pemilik nama sebenar Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad mengakui, perjalanan jodohnya bukan seperti kebiasaan anak muda hari ini.
Malah, sebelum bergelar suami, dia pernah melalui episod patah hati yang cukup meninggalkan kesan.
“Ramai orang jumpa jodoh di dating apps, Facebook atau Instagram. Dating dulu, lepas itu kahwin. Sweet kan?” katanya sambil tersenyum.
Namun, kisahnya berubah arah pada tahun 2013 apabila hubungan yang diharapkan tidak kesampaian. Itu yang dikongsikan oleh tuan punya badan menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

“Saya pernah kena friend zone dengan crush pertama.
"Heartbroken teruk sampai saya ambil keputusan balik kampung,” kongsinya jujur.
Siapa sangka, kepulangan itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
Di situlah, arwah datuk tersayang memainkan peranan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Tiba-tiba atuk saya (Al-Fatihah) mengaturkan perkahwinan untuk saya. Tak sempat fikir panjang.
"Dalam masa sebulan sahaja, kami terus berkahwin,” ujar pelakon drama Titian Cinta itu.

Kini bergelar bapa kepada empat cahaya mata, Daler tidak menafikan keputusan yang dibuat secara pantas itu rupa-rupanya membawa kebahagiaan berpanjangan.
“Alhamdulillah, sampai hari ini saya bersyukur. Rupanya itulah jalan terbaik untuk saya,” katanya ringkas namun penuh makna.
Bagi Daler, kisah hidupnya menjadi bukti bahawa jodoh tidak semestinya hadir mengikut perancangan sendiri. Ada kalanya, ia datang melalui tangan orang tersayang dan restu keluarga.
“Kadang-kadang jodoh datang bukan melalui apa yang kita rancang, tapi melalui restu keluarga, doa dan kesabaran menerima ketentuan ALLAH,” katanya menutup bicara.
Kisah Daler Yusof ini mengingatkan bahawa setiap insan punya jalan cinta tersendiri, ada yang bermula dengan cinta, ada pula yang berakhir dengan cinta.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
