'Saya nak cari suami ‘Sempurna’ tak mudah, ada trust issue' – Sherry Ibrahim sedia berumah tangga & miliki Zuriat, tapi…
BERCAKAP soal jodoh, pelakon popular Sherry Ibrahim mengakui bukan mudah untuk mencari pasangan hidup yang benar-benar menepati kriteria diimpikan.
Menolak dikatakan dirinya terlalu memilih kesempurnaan, sebaliknya pemilik nama sebenar, Syarizad binti Ibrahim itu mengakui, pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih berhati-hati, terutama dalam soal kepercayaan.

Menurut Sherry, dia bukan mencari lelaki yang sempurna dari segala sudut, namun cukuplah seorang yang ikhlas, jujur dan mampu melengkapkan dirinya seadanya.
“Saya nak cari suami yang 'sempurna' itu memang tak mudah. Tapi sebenarnya bukan sempurna yang saya cari, sebaliknya lelaki yang boleh memahami, jujur dan menepati janji.
"Lagipun, saya ada isu kepercayaan dengan lelaki, sebab pengalaman sebelum ini banyak mengajar,” katanya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini di majlis pelancaran kempen Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil.
Jodoh aturan ALLAH
Memasuki usia 40-an tahun ini, dirinya tegas tidaj lagi mengejar kata-kata manis kerana bagi tuan punya badan, itu sahaja tidak lagi mencukupi.

Apa yang lebih penting adalah tindakan yang membuktikan kesungguhan.
“Sekarang ni saya dah tak ada masa untuk dengar janji-janji kosong. Action speaks louder than words.
"Kalau betul-betul serius, lelaki itu kena berani, termasuklah jumpa ibu bapa saya.
"Dari situ kita boleh nampak keikhlasan dia,” jelasnya.
Walaupun sering ditanya soal perkahwinan, Sherry percaya jodoh adalah aturan Tuhan dan bukan satu perlumbaan yang perlu dikejar.
“Perkahwinan bukan trend. Bila orang kahwin, kita pun rasa nak kahwin. Tapi sebenarnya jodoh ni bukan competition.
"ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita. Saya percaya masa yang tepat akan datang,” ujar anak kelahiran Petalibg Jaya itu dengan tenang.
Dalam pada itu, pelakon drama Teduhan Kasih tersebut turut berkongsi beberapa nasihat penting buat kaum wanita agar lebih berhati-hati dalam perkenalan, terutamanya di era media sosial yang serba mudah ini.

“Kita sebagai perempuan jangan tunjuk kelemahan pada lelaki yang mungkin ambil kesempatan.
"Bukan semua lelaki jahat, tapi ada juga yang niatnya tak baik. Wanita kena bijak, tahu nilai diri, batas dan jangan terlalu mudah percaya,” katanya.
Sherry juga mengingatkan agar pertemuan dengan individu yang baru dikenali sebaiknya dilakukan di tempat awam dan bukan secara bersendirian.
“Kalau nak jumpa, jumpa di tempat awam. Jangan senang-senang nak ikut balik rumah atau jumpa stranger.
"Kadang-kadang walaupun orang itu ada nama, ada rupa, kita tetap kena berhati-hati,” ujarnya.
Mengulas tentang perancangan masa depan, Sherry tidak menafikan hasrat untuk berumah tangga dan memiliki zuriat suatu hari nanti.
Namun buat masa ini, dia lebih selesa menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Ilahi.
“Sudah tentu saya bersedia untuk berkahwin dan ada anak. Siapa tak nak keluarga bahagia? Tapi saya percaya ALLAH Maha Mengetahui.
"DIA tahu bila masa yang sesuai dan siapa yang terbaik untuk saya,” katanya.

Sherry turut mengakui kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan memberi fokus kepada diri sendiri serta kerjaya.
“Saya memang jarang keluar. Lebih banyak luangkan masa dengan diri sendiri, keluarga dan kerja.
"Bila masa terbaik itu tiba, insya-ALLAH ia akan datang dengan sendiri,” katanya sambil tersenyum.
Sebagai penutup, Sherry berharap wanita di luar sana tidak terlalu tertekan dengan soal jodoh dan sentiasa menjaga maruah serta harga diri.
“Yang penting kita jadi wanita yang kuat, tahu apa yang kita mahu dan jangan mudah dipergunakan. Kalau ada jodoh, insya-ALLAH ada. Kita doa yang terbaik sahaja,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
