Awas batuk berpanjangan walau rasa sihat — Pakar dedah risiko tibi tersembunyi yang masih mudah berjangkit
RAMAI orang beranggapan tibi (TB) sudah jadi cerita lama. Hakikatnya, penyakit ini masih wujud dan boleh membahayakan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Aishah Abas, menjelaskan bahawa TB sehingga kini masih menjadi antara penyakit berjangkit utama di Malaysia.
“Setiap tahun, kes TB meningkat, dan dijangka hampir 30,000 kes pada 2030.
"Malah, 10 hingga 15 peratus daripada pesakit meninggal dunia, menjadikannya salah satu penyakit berjangkit paling maut di negara ini,"ujarnya.
Penyakit ini bersifat “senyap”. Simptom awalnya menyerupai batuk biasa, malah ada jenis TB yang langsung tidak menyebabkan batuk.
Ramai pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana rasa sihat atau takut stigma.
Dr Aishah menekankan bahawa tibi masih relevan sebagai isu kesihatan awam.
Lagi cepat kes dikesan dan rawatan dimulakan, lagi cepat rantaian penyakit dapat diputuskan.
Semua orang berpotensi dijangkiti TB kerana kuman tersebar melalui udara.
"Namun, tidak semua yang dijangkiti terus sakit. Secara global, satu daripada empat orang dewasa membawa kuman TB dalam bentuk TB pendam, mereka nampak sihat, tidak batuk, tetapi bakteria ada dalam badan.
"Hanya lima hingga sepuluh peratus daripada mereka berisiko menjadi TB aktif, terutamanya apabila sistem imun menurun.
"Risiko lebih tinggi pada beberapa kumpulan seperti penghidap HIV, pesakit kencing manis, perokok, warga emas, pesakit kanser, buah pinggang, individu kurang zat, atau ahli rumah pesakit TB," ungkap beliau lagi.

Dr Aishah menambah, pesakit TB smear-negative juga boleh menular, terutama dalam rumah atau ruang tertutup.
Jadi, jangan pandang ringan jika batuk berlarutan.
"TB dibahagikan kepada beberapa jenis dengan tahap risiko berbeza. TB paru-paru smear-positive adalah yang paling berjangkit, di mana seorang pesakit boleh menjangkiti 10 hingga 15 orang setahun jika tidak dirawat.
"Sementara TB smear-negative masih boleh berjangkit tetapi risikonya lebih rendah, manakala TB pendam tidak berjangkit tetapi lima hingga 10 peratus boleh menjadi aktif apabila imun tubuh lemah.
"Bagi TB extrapulmonari pula, hampir tidak berjangkit kerana melibatkan anggota selain paru paru seperti buah pinggang dan tulang belakang melainkan ada tibi paru-paru juga pada masa yang sama," jelasnya lagi.
Ditanya mengenai tanda-tanda amaran TB, pakar ini berkongsi simptom termasukklah batuk lebih dua minggu, demam waktu malam dan berpeluh malam.
"Selain itu, pesakit juga mengalami susut berat badan, letih melampau, dan kadang-kadang kahak berdarah.
"Rawatan TB biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan. Cabaran terbesar bukan ubat, tetapi konsistensi pengambilan ubat, kesan sampingan, stigma, dan sokongan keluarga," kongsinya.
Beliau dalam pada itu mengakui, dengan pemantauan, pendidikan dan sokongan yang betul, TB boleh sembuh sepenuhnya.

Jadi walaupun rasa sihat selepas beberapa minggu, ubat mesti diteruskan sampai habis.
"Bagi pesakit smear-positive, pengasingan diri dua minggu pertama sangat penting untuk mengurangkan risiko menular.
"Di rumah, pastikan pengudaraan baik, buka tingkap, tutup mulut ketika batuk, pakai pelitup muka, dan ahli rumah menjalani saringan.
"Sementara di komuniti pula, jangan abaikan batuk lama, jangan stigma pesakit, dan sokong mereka habiskan rawatan," nasihat pakar tersebut.
Beliau turut menambah, TB bukan sebab untuk mengasingkan manusia tetapi untuk mengasingkan kuman.
Saringan kontak rapat juga penting, termasuk ahli rumah, pasangan, anak-anak atau rakan serumah, walaupun mereka nampak sihat.
"TB masih wujud kerana stigma, diagnosis lewat, dan cabaran sosial lain. Namun, ia boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya dengan kesedaran, saringan awal, rawatan patuh, dan sokongan keluarga serta masyarakat.
"Dengan langkah-langkah ini, rumah dan komuniti lebih selamat, dan kita semua boleh hidup lebih tenang tanpa rasa takut tersembunyi oleh TB," jelas beliau lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
