Suami hentak isteri hamil 7 bulan dengan lesung batu, tak mengaku kandungan anaknya. Darah terpercik di tingkap! 'Saya sudah 'matikan' dia'
KURANG seminggu umat Islam bakal menyambut Ramadan, seorang wanita sarat hamil tujuh bulan pergi selamanya di tangan suaminya sendiri.
Dalam kejadian di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor ini menyayat hati apabila ibu hamil itu ditemui meninggal dunia dalam bilik sebuah rumah sewa di tingkat dua dan dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dihentak menggunakan objek tumpul yang disyaki lesung batu.
Menurut jiran, yang juga pemilik rumah sewa, Atikah Sulaiman, 44, suspek berusia 35 tahun dikatakan mengalami masalah mental mendakwa kandungan isterinya bukan anaknya.
Suspek yang ke rumahnya pagi Jumaat tidak menunjukkan tanda-tanda terlibat dalam pergelutan atau peristiwa berdarah.
“Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tak ada kesan darah. Malah siap minum air kotak lagi dengan anaknya.
"Dia beritahu nak buat laporan kepada suami sebab isterinya ada hubungan dengan lelaki lain dan dakwanya kandungan tujuh bulan itu bukan anak dia.

"Suami tanya mana isteri? Dia cakap isteri dalam bilik, saya sudah 'matikan' dia," katanya dipetik daripada Sinar Harian.
Mendengar kata-kata lelaki itu, suaminya segera ke rumah sewa berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa.
"Lelaki itu minta kami laporkan kejadian itu kepada pihak polis. Dia serah diri dan tidak melawan ketika ditahan," katanya lagi.
Jelasnya, pasangan berkenaan yang baharu pulang ke rumah sewa berkenaan selepas ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan penyakit lelaki itu.
"Mangsa ada beritahu suaminya itu ada masalah kesihatan mental sebab itu mereka pergi membuat rawatan di Kuala Lumpur.
"Sebelum ini lelaki itu kerja gunting rambut tetapi lepas balik sini dia tak bekerja," katanya.

Pasangan berkenaan dikatakan telah empat tahun menyewa di rumah berkenaan.
"Kali terakhir saya jumpa mangsa pada awal bulan ini. Dia datang untuk bayar sewa rumah. Memang mereka tidak pernah culas bayar sewa rumah.
"Mangsa juga ada beritahu sekarang kerap ulang alik ke klinik untuk pemeriksaan kehamilannya," ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rumah sewa yang terletak di tingkat dua itu diletakkan dengan pita kuning garisan polis, selain terdapat kesan percikan darah di tingkap.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, maklumat berhubung kejadian tragis itu diterima pada jam 7 pagi.
"Suspek berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi.
"Mangsa berusia 34 tahun dan suaminya merupakan etnik Rohingya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
