'Teruja, dah lama tak berbuka berpasangan' – Erra Fazira hajat tour masjid tarawih berjemaah, Ezwan sahur ringkas asalkan isteri masak
RAMADAN selalunya mengajar erti sabar dan syukur, tetapi bagi sesetengah orang, ia juga membawa rasa ditemani.
Tahun ini, pelakon kesayangan ramai, Erra Fazira menikmati suasana itu buat pertama kali sebagai isteri kepada Ezwan Zain, apabila rutin yang dahulu sendirian kini bertukar menjadi berdua.
Selepas bertahun-tahun membiasakan diri dengan rutin solo, kehadiran pasangan menjadikan bulan mulia itu terasa berbeza.
“Sambutan Ramadan tahun ini macam biasa, cuma bertambah dengan kehadiran suami… orang kata lebih colourful,” katanya sambil tersenyum.
Pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek itu mengakui kehidupan selepas bernikah bukan bermaksud jadual menjadi perlahan.

Malah, dia masih tenggelam dalam kesibukan kerja tanpa henti.
“Sejak nikah sampai sekarang memang back to back kerja, kerja, kerja. Tapi Alhamdulillah, encik suami memahami. Dia pun sibuk juga,” ujarnya.
Ezwan yang berada di sisi hanya ketawa kecil, mengiyakan kata-kata isterinya.
“Saya kat sini, lebih daripada memahamilah kerja-kerja yang Erra terpaksa lakukan,” balasnya ringkas.
Disakat tentang momen berbuka puasa pertama sebagai pasangan suami isteri, Ezwan tidak menyorokkan keterujaannya.
“Erra pun dah lama tak berbuka secara berpasangan kan? Kali ini nak betul-betul raikan Ramadan kita,” katanya.
Aura sederhana itu sebenarnya yang menjadikan Ramadan mereka terasa lebih hangat, bukan percutian mewah atau perancangan besar, tetapi kebersamaan.
Impian ‘tour’ terawih
Dalam kesibukan masing-masing, pasangan ini tetap memasang hasrat kecil yang cukup bermakna, menjelajah masjid untuk solat terawih bersama.

“Sebenarnya kami berhajat nak buat tour masjid-masjid untuk terawih kalau berkesempatan,” kongsi Erra.
Tambahnya, masa perlu disusun memandangkan suaminya mengendalikan bufet Ramadan di kafe miliknya.
“Jadi mungkin hujung atau pertengahan Ramadan. Sewaktu saya buat podcast Kasi Onz, ustaz ada kata lebih afdal berjemaah bersama,” katanya.
Bila masuk bab makan pula, pasangan ini tidak cerewet. Bagi Ezwan atau mesra disapa Mr E, sahur bukan soal menu mewah tetapi cukup sekadar mengalas perut.
“Saya orang yang ringkas. Saya makan apa saja yang isteri sediakan waktu sahur atau berbuka. Lagipun kami berdua saja di rumah,” katanya.
Kadang-kadang anak Erra, Aleesya, turut bersama, menjadikan suasana lebih hidup.
“Apa yang ada… sebab hidup berdua. Aleesya pun kadang-kadang ada, jadi sekadar itu sudah cukup,” tambahnya.
Tiada kisah romantik berlebihan, hanya rutin harian yang kini dikongsi.

Dari memahami jadual kerja, merancang terawih bersama hinggalah sahur seadanya, semuanya membentuk definisi bahagia versi mereka.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2025 dalam sebuah majlis di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.
Ramadan kali ini menjadi musim pertama mereka belajar menyesuaikan dua kehidupan menjadi satu.
Kadang-kadang, cinta selepas kahwin bukan tentang perubahan besar, tetapi tentang siapa yang duduk di sebelah ketika azan Maghrib berkumandang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
